“Itu Pilihan Peribadi Dia…” – Ambil Berat Isu Mawar Rashid Buka Tudung, Fazley Yaakob Jawab Dakwaan Rumah Tangga Adik Sedang Bergolak

Penyanyi dan chef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menafikan dakwaan rumah tangga adiknya iaitu Raf Yaakob dan pelakon Mawar Rashid sedang bergolak.

Memetik laporan Harian Metro, Fazley menegaskan hubungan pasangan itu tiada masalah meskipun hangat diperkatakan isu Mawar membuka tudung.

“Sebenarnya tak ada pun. Sebab saya memang sangat rapat dengan Raf dan dia bercerita apa saja dengan saya. Kami sangat rapat. Jadi saya tahu tiada masalah pergolakan rumah tangga.

“Yang seronoknya, Raf pun semalam baru balik umrah kan. Saya tanya bagaimana (rumah tangga), dia cakap semua okay. Sebab dia memang jenis sangat ‘open’ dengan saya,” katanya.

Berhubung isu Mawar memilih untuk tidak memakai tudung sebelum ini, dia akui mengambil berat tentang perkara tersebut.

Sementara itu, Fazley memaklumkan adik iparnya dalam keadaan yang baik meskipun tindakannya itu dibuat kerana berdepan dengan masalah tekanan.

“Itu adalah pilihan peribadinya. Keluarga menanti, melihat, mendoakan yang terbaik untuknya. Sejak isu itu, saya tidak berjumpa dengannya (Mawar). Saya bagi ruanglah.

“Tapi sudah tentulah sebagai abang long, saya orang pertama yang WhatsApp dia.

“Saya nyatakan saya sentiasa di belakangnya dan yakin dia sudah fikir betul-betul. Raf kata keadaannya baik-baik saja, Alhamdulillah,” ujarnya.

Maya Basir