“Itu Semua Fitnah! Masalah Timbul Sebab Kesalahan Dia 100 Peratus” – Diana Danielle Tepis Dakwaan Berlaku Curang

Pelakon Diana Danielle menepis dakwaan suaminya, Farid Kamil yang mengatakan dia berlaku curang sehingga nekad untuk memfailkan perceraian pada 20 Mac lalu.

Diana berkata, segala tuduhan yang dibuat Farid terhadap dirinya sebelum ini adalah fitnah semata-mata dan segala masalah yang berlaku dalam rumah tangganya berpunca dari  kesalahan suaminya itu.

“Itu semua fitnah. Masalah yang timbul adalah kesalahan dia 100 peratus.

“Kalau betul saya ada orang ketiga, kenapa dia nak belikan cincin kahwin saya. Kalau kantoi kenapa nak bawa bunga.

“Bayangkan cincin yang dia nak bagi tadi sudah dia hilangkan selama lapan tahun, tapi baru hari ini dia nak beri semula cincin perkahwinan kami selepas lapan tahun,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, pagi tadi.

 

Diana dan Farid hadir ke mahkamah pagi ini bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Dalam pada itu, Diana menegaskan, kehadiran Farid dengan membawa sebentuk cincin dan sejambak bunga sebenarnya bukan untuk menyelamatkan perkahwinan mereka tetapi  mahu menjaga maruah dirinya.

“Ya saya masih dengan keputusan untuk bercerai. Dia bukan cuba nak menyelamatkan rumah tangga (pemberian bunga dan cincin), tapi nak menyelamatkan air muka dia saja,” katanya.

Mengulas mengenai kenyataan Farid yang sudah 23 hari tidak bertemu anak mereka, Diana memberitahu, puteri keduanya, Aurora kini berada dalam keadaan trauma.

“Aurora trauma,” katanya yang enggan menjawab punca anaknya itu trauma.

Terdahulu, Farid tiba di mahkamah kira-kira jam 9 pagi dengn membawa jambangan bunga mawar untuk isterinya.

Malah Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

Sementara itu, Diana hadir lebih awal iaitu pada jam 8.55 pagi dengan memakai baju berwarna hitam ditemani pengawal peribadinya.

 

Kira-kira lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di perkarangan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari atas alasan  tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Untuk rekod, Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Salma Syahbuddin