Izzue Islam Bosan Jadi Baik?

Sering ditawarkan watak hero baik, pelakon Izzue Islam mengaku mula rindu membawakan watak antagonis.

Izzue yang ditemui di majlis Iftar Watie Collections baru-baru ini memberitahu, dia kini lebih selektif dalam menerima watak untuk drama.

“ Kalau bawa watak jahat, ia akan jadi lebih ‘berwarna’. Saya mahu lakonkan watak yang menguji kemampuan dan memerlukan saya berusaha lebih di set.

“ Selalunya saya diberi watak lelaki baik dan naif mungkin sesuai dengan wajah agaknya,” katanya berseloroh.

Kata Pelakon Harapan Lelaki di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-25 ini, dia akan mencuba sebaik mungkin untuk menimbulkan mood benci di kalangan penonton.

“ Kalau produser atau pengarah beri kepercayaan, saya sedia mengambil tanggungjawab itu. Cuma buat masa ini tawaran bawa watak antagonis belum ada lagi. Kalau ada Insha Allah saya akan buat satu Malaysia benci dengan watak itu,” katanya.

Pada majlis berbuka puasa Watie Collections berkenaan, Izzue tidak ketinggalan meraikan anak-anak yatim dari Pusat Jagaan Rahoma dan Pusat Jagaan Islam Buah Hatiku dengan menyampaikan beberapa buah lagu bersama kumpulannya, The Novic Gypsy.

SGMS Fas