“Jangan Buka Aib, Kalau Boleh Simpan Dalam Selimut” – Ashraf Muslim Kongsi Tips Poligami, Akui Bukan Mudah

Pelakon Ashraf Muslim tampil menasihati rakan-rakan selebriti yang sedang mengalami masalah rumah tangga sejak akhir-akhir ini.

Menurut Ashraf, dia berpesan agar setiap pasangan tidak perlu membuka aib pasangan sendiri di media sosial sebaliknya segera mencari jalan damai.

“Apa saja cerita mengenai keluarga ni kalau boleh simpan dalam selimut, jangan buka aib… kalau kita sebarkan di media sosial akan rasa kebaikan untuk diri tapi sebenarnya ia memberi ruang untuk nampak keburukkan diri.

“Saya rasa baik fasal keluarga ini simpan-simpan dan selesaikan masalah dengan sendiri, berbincang dengan hati terbuka. Kalau boleh betul, kita betulkan. Pasti ada jalannya.

“Bincanglah dengan baik, daripada gaduh jadi tak gaduh. Allah temukan dengan cara yang baik. Jadi carilah penyelaseaian sebab kita sebagai muslim, ada buat salah. Setiap masalah ada penyelasaiannya,” katanya.

Dalam pada itu, Ashraf antara selebriti yang mengamalkan hidup berpoligami turut menegaskan bahawa perlu adanya ilmu dalam hidup berpoligami.

“Kita yang kena tunjuk perkara-perkara yang baik. Yang tak baik itu kita cepat-cepat betulkan. Islam itu indah. Poligami juga sebenarnya indah.

“Bila kita buat keputusan tersebut, kita kena tahu apa yang perlu ada seperti ilmu, mencari dekat dengan tuhan, lihat kesan yang berlaku, apa yang akan berlaku dan apa yang perlu buat selepas itu. Kena faham.

“Mendamaikan isteri-isteri saya dengan menghormati mereka, berikan kasih sayang, berbuat baik dan jalankan tanggungjawab sebagai suami. Saya yakin benda itu akan berdamai.

“Tiada istilah bernasib baik dalam keluarga kita. Poligami ini bukan mudah. Kita kena faham dan belajar apa yang perlu,” kongsinya.

Sementara itu, Ashraf turut mengakui golongan selebriti banyak memberikan impak kepada masyarakat dan menasihati agar kesucian Islam dapat dijaga.

“Artis ini memberikan kesan yang besar kepada masyarakat. Keluarga dan bab agama sangat sensitif. Jagalah agama dengan baik supaya institusi Islam itu tidak tercemar.

“Serba sedikit ia memberi kesan kepada masyarakat juga. Kalau cerita baik kita dengar, kalau sebaliknya, tak perlu.

“Saya tak mahu dengar (masalah rumah tangga selebriti). Setiap orang ada masalah yang berbeza-beza. Jadi kita berprasangka baiklah,” tutupnya.

Untuk rekod, Ashraf bernikah dengan isteri pertamanya, Noor Dayana Lokman pada 24 september 2011 di Makkah.

Selepas empat tahun berkahwin, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki bernama Anas Ashraf, 7.

Ashraf kemudiannya berkahwin dengan Wan Sakinah Ahmad Saburi di Thailand pada 7 Julai 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Sarah Ashraf, 8, Adam Ashraf, 7, dan Safiyyah Ashraf, 3.

Sumber: mStar

Khairil Khusyairi