‘Jangan Salahkan Cikgu’- Rita Rudaini Jumpa Keluarga Pembuli Anaknya Esok

“Jangan salahkan cikgu. Mereka bukan pengasuh,” demikian kata pelakon jelita, Rita Rudaini mengulas kes buli melibatkan anaknya, Airit Rayyan Rizqin, baru-baru ini.

Rita yang ditemui di sambutan ulangtahun Melodi Salute 2019 berharap agar ibu-bapa lebih peka dalam membentuk sifat keperibadian baik dalam diri anak.

“Saya percaya didikan anak penting sejak dari rumah. Bila terjadi kes buli, jangan salahkan guru. Saya lihat ramai ibu-bapa yang serang balik guru bila menegur anak mereka. Itu salah.

“Kalau hari ini mereka boleh buli anak orang lain dengan londehkan seluar. Bagaimana pula bila mereka besar nanti. Bentuk keperibadiaan baik dari awal, itu lebih baik,” ujarnya.

Pelakon berusia 43 tahun ini juga mengaku tidak kisah sekiranya guru di sekolah merotan anaknya jika didapati membuat kesalahan.

“Tiada masalah bagi saya jika guru mahu rotan anak-anak saya jika mereka melakukan kesalahan di sekolah.

“Kalau zaman saya dulu, bila cikgu rotan saya sendiri tidak berani mengadu kepada keluarga di rumah. Bimbang dirotan kali kedua. Saya percaya guru tahu apa yang terbaik untuk murid-murid di sekolah,” katanya.

Tambah Rita, dia akan bertemu dengan pihak sekolah termasuklah ibu-bapa pelaku yang membuli anaknya, baru-baru ini.

“Esok (3hb Disember) saya akan ke sekolah untuk bertemu dengan mereka. Saya juga mahu tahu apa alasan pelaku. Jangan kata anak anda murung atau sebagainya, anak saya juga melalui hal yang sama. Jika anda memberi alasan, anak baru berusia 10 tahun, jadi anak saya usianya bukan ke sama,” soalnya.

Anak pertama Rita, Airit didakwa menjadi mangsa buli di sekolah selepas seluarnya dilondehkan.

Oleh: Fas 

SGMS Faida