‘Jangan Sorok Password’- Amyra Rosli Kongsi Tips Rumah Tangga

Pelakon Amyra Rosli mendedahkan dia dan suami, Amar Baharin tidak pernah menyimpan rahsia antara satu sama lain termasuklah kata laluan untuk sosial media.

Amyra ketika ditemui Xtra di majlis Serikan Diri Di Aidilfitri Dengan Garnier memberitahu ketelusan adalah amat penting dalam sebuah perkahwinan.

“ Saya bukan orang paling tepat untuk berkongsi tips kahwin memandangkan baru tiga tahun bergelar isteri.

“ Tetapi saya bersyukur Amar tidak pernah marah setiap kalu saya mahu meminjam telefonnya untuk melihat Instagram atau lain-lain. Saya percaya setiap pasangan suami isteri tidak boleh menyembunyikan apa-apa aktiviti di belakang pasangan masing-masing,” kongsinya.

Pun begitu, Amyra memberitahu dia dan Amar juga adakala tidak terkecuali berselisih faham namun menyifatkan ia sebagai asam garam rumah tangga.

“ Tipulah tak pernah gaduh…kami juga manusia biasa tidak lepas daripada melakukan kesilapan.

“ Tetapi kami selalu ingatkan diri masing-masing untuk membuang ego jauh agar isu tidak berpanjangan,” katanya.

Pasangan selebriti ini berkahwin pada November 2016 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Aqeeh Anaqi yang kini berusia setahun lapan bulan.

SGMS Faida

Recent Posts