Jangan Suka-Suka Guna Istilah Bufet Ramadan

Lambakan promosi Bufet Ramadan yang digantung bagi tujuan pemasaran tidak boleh diguna sewenang-wenangnya!

Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Datuk Mohamad Noor Abdul Rani berkata, istilah bufet Ramadan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak penyedia makanan tanpa mendapat sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan JAIP.

Denda RM200,000 hingga RM250,000 termasuk penjara lima tahun menanti pengurus hotel dan restoran di negeri ini yang tidak memiliki sijil halal tetapi menggunakan perkataan ‘Bufet Ramadan’.

Usaha ini bertepatan bagi mengelak kekeliruan serta keraguan dalam kalangan pelanggan Islam yang ingin berbuka puasa di premis terbabit.

Katanya, istilah atau perkataan lain yang turut dilarang digunakan ialah bufet berbuka puasa, makanan berbuka puasa, makanan bersahur, iftar dan seumpama yang membawa maksud sama.

“Semua istilah yang dilarang ini boleh membawa maksud juadah atau makanan yang disediakan boleh dinikmati pelanggan Islam yang ingin berbuka puasa serta bersahur walaupun tidak mempunyai sijil halal.

“Ini kerana kita tidak dapat memastikan status halal ramuan yang digunakan serta kaedah penyediaannya mengikut amalan prinsip syarak,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, banyak hotel seolah-olah berlumba mempromosikan bufet Ramadan tetapi pada masa sama tidak memohon sijil halal atau memperbaharui sijil halal.

Mohamad Noor menambah, pengurusan hotel yang degil dengan amaran bakal berdepan dengan tindakan undang mengikut Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

“Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua tidak melebihi RM500,000 bagi pertubuhan perbadanan manakala individu boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan kedua mereka boleh dikenakan denda maksimum RM250,000 atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohamad Noor berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan pihak berkuasa tempatan untuk mantau premis terbabit.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya mengingatkan peniaga di negeri ini supaya dapat mematuhi peraturan waktu berniaga dan sentiasa berpakaian sopan.

Sumber: BH Online

SGMS Faida