Janna Nick Ingin Ikut Jejak Langkah Ellen?

Pelakon, Janna Nick (24) yang memenangi Artis Versatil Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) Ke-32 baru-baru ini bakal menceburi bidang pengacaraan apabila ditawarkan untuk mengendalikan sebuah program bual bicara, tahun depan. 

“InshaAllah, saya akan terbabit dengan rakaman program baharu berkonsep bual bicara, juga untuk TV3, tahun depan.  Ia sebuah program santai dan menyeronokkan.  Cuma, saya belum boleh bercerita lanjut mengenainya, buat masa ini. 

“Peluang untuk mengacarakan rancangan terbabit juga hadir ketika saya bersama Melodi.  Jujurnya, saya sendiri tidak sabar untuk mengacarakan program terbabit,” kata Janna pada BH Online ketika ditemui pada acara Melodi Salute yang diadakan di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur bersempena 30 tahun program berkenaan.

Pemilik nama penuh Nurul Jannah binti Muner ini menyifatkan keputusannya untuk mengacarakan Melodi bersama pelawak Ajak Shiro sebagai satu strategi yang tepat. 

“Saya rasa tak salah memilih Melodi sebagai platform pertama untuk mengasah bakat dalam pengacaraan.  Malah, kini pasaukan kerjanya sudah seperti keluarga sendiri walaupun baru dua tahun saya bersama mereka. 

“Melodi banyak memberikan pengalaman berharga untuk saya, selain ilmu yang tidak mungkin saya peroleh di mana-mana institusi.  Saya takkan lupakan Melodi sampai bila-bila,” katanya lagi. 

Untuk rekod, Janna bukan sahaja seorang pelakon yang berbakat, malah dia juga pernah menceburi bidang nyanyian dan telah mengeluarkan debut single berjudul “Mungkin Saja” dan “Akan Bercinta” pada 2016.

Kredit Foto: Instagram @jannanick

Del14