Joe Flizzow, Marini Nikah April 2020

Penyanyi rap dan hip hop, Joe Flizzow atau nama sebenarnya Johan bin Ishak yang selamat melangsungkan pertunangan dengan gadis pilihannya, Marini Ramlan pada 28 Disember lalu, bakal bernikah pada April 2020. 

Menurut ibu Joe, Aishah Ali yang juga bekas wartawan New Straits Times, pasangan itu mengenali antara satu sama lain sejak 15 tahun lalu, namun hubungan mereka hanya menjadi serius sejak 2016. 

Aishah juga memaklumkan majlis pertunangan yang diadakan di kediaman keluarga Marini di Petaling Jaya dihadiri lebih 50 orang ahli keluarga dan sahabat terdekat masing-masing dan mengesahkan majlis pernikahan bakal dilangsungkan bulan April tahun depan seperti yang dirancangkan. 

“Mengikut perancangan, mereka akan disatukan pada April depan.  Doakan semoga segala urusan mereka untuk mendirikan rumah tangga dipermudahkan,” katanya kepada BH Online. 

Tambah Aishah, Joe tidak mahu terburu-buru dan mengambil masa untuk menamatkan zaman bujang kerana dia mempunyai misi dan impian yang perlu direalisasikan terlebih dahulu.

“Dia mahu kejar cita-citanya dahulu dan merealisasikan impiannya sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga. 

“Joe pernah memberitahu, dia serius dalam perjuangan muziknya, malah ingin membawa bakatnya menembusi Amerika Syarikat, biarpun ia tidak semudah yang disangka.

“Dia mencapai kemuncak dalam perjuangan seninya apabila dilantik sebagai Pengarah Urusan, Def Jam South East Asia,” kata Aishah.

Terdahulu, Marini pernah memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengurus Besar Inovasi Kandungan & Digital, Primeworks Studios Sdn Bhd sebelum memilih untuk bekerja sendiri dan memperkembangkan bisnes seni lukis dan ilustrasinya. 

Joe juga mencipta sejarah tersendiri apabila muncul sebagai penyanyi tempatan pertama bernaung di bawah label rakaman antarabangsa, Def Jam. 

Baca: Joe Flizzow, Marini Selamat Bertunang

Kredit Foto: Instagram @nynamohsen

Del14