Tiket Tak Laku Punca Konsert Radja Batal?

Selepas hampir 12 tahun tak beraksi di pentas Malaysia, konsert Radja Malaikat Cinta yang sepatutnya diadakan esok ditangguhkan sekali lagi.

Dengan pengumuman di saat terakhir, sudah tentu peminat yang sudah mendapatkan tiket naik angin! Bayangkan ada peminat yang sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan artris kegemaran mereka beraksi, sudahnya…dibatalkan pula.

Dalam kenyataan yang dikongsi di laman jualan tiket, penganjur konsert, Belbis Sdn Bhd memberi alasan faktor jualan tiket yang kurang memberangsangkan menjadi punca keputusan menangguhkan acara itu diambil.

Ketua Eksekutifnya, Afandy Alias berkata, pihaknya kesal konsert menampilkan Radja terpaksa ditangguhkan kepada tarikh yang belum dapat ditentukan lagi.

“Konsert ditunda atas sebab jualan tiket yang sangat tidak menggalakkan. Sehubungan itu, kami meminta pihak Redtix membuat pengumuman penangguhan konsert di semua media.

” Mereka juga diminta menghentikan penjualan tiket dan semua bentuk promosi. Proses pemulangan wang tiket kepada pembeli jika mereka mahu menuntut bayaran, sudah dimulakan,” katanya.

Kenyataan itu dimuat naik di laman jualan tiket itu, tengah hari semalam.

Sebelum ini, Radja merancang mengadakan konsert pada 5 Mei lalu. Namun, tarikh itu dipinda malam esok, bagi membolehkan rakyat mengundi pada PRU-14 yang diadakan 9 Mei.

SGMS Faida