Kaka Azraff Impi Buat Persembahan di Amerika Syarikat – “Berangan Itu Percuma”

Penyanyi Kaka Azraff mendedahkan hasratnya untuk membuat persembahan di hadapan papan iklan gergasi atau ‘billboard’ Times Square, New York, Amerika Syarikat.

Menurut Kaka, dia tidak pernah berhenti berangan dan berharap impiannya untuk menyanyikan lagu Melayu di hadapan lokasi ikonik itu bakal menjadi kenyataan suatu hari nanti.

“Berangan itu percuma dan tidak salah. Siapa tahu, suatu hari nanti berpeluang beraksi di sana. Kalau artis dari Asia lain pun sudah merealisasikannya, pasti kita boleh juga.

“Saya bayangkan saya akan nyanyikan lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Pastinya satu kebanggaan dapat berkongsi bahasa kita di depan khalayak di sana,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Kaka mula menyimpan hasratnya itu sejak melihat kejayaan rakan seperjuangan seperti Yuna dan Dolla.

“Rasa macam tak percaya sangat. Bila melihat pencapaian itu, ia membakar lagi semangat saya untuk memberikan lebih usaha dalam kerjaya seni.

“Saya juga pernah cakap dengan suami, perihal begini yang sebenarnya membuatkan saya enggan mengalah. Saya bukan nak banggakan diri semata-mata, tapi banggakan satu Malaysia,” katanya.

Selain Kaka, Yuna serta Dolla, wajah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Aina Abdul, Aisha Retno dan Vanessa Reynauld juga pernah menghiasi papan iklan gergasi terbabit.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain