Gementar Rakam Semula Lagu Bakawali, Wany Hasrita Minta Pendapat Siti Nordiana

Penyanyi Wany Hasrita meluahkan rasa gementar ketika merakamkan semula lagu Bakawali gandingan bersama Datuk Jamal Abdillah yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Menurut Wany, dia juga berasa lega selepas membuat perbincangan bersama salah seorang penyanyi asal lagu itu, Siti Nordiana atau Nana bagi mendapatkan pandangan.

“Pada mulanya, saya gementar juga nak merakamkan semula lagu Bakawali kerana kedua-dua penyanyi asalnya iaitu kak Nana dan kak Syura masih lagi aktif sebagai penyanyi. Tapi, ia atas perancangan syarikat rakaman dan saya harus akur.

“Mujur juga ketika berbincang dengan kak Nana, dia sangat memahami kerana itu bukan lagu persendirian, tapi milik syarikat rakaman. Malah, saya juga terkejut apabila Datuk Jamal sendiri bersetuju untuk terbabit dalam projek ini (rakam semula Bakawali),” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Wany turut berasa teruja untuk merakamkan semula lagu ini sejurus mendapat persetujuan daripada Jamal Abdillah untuk berduet dengannya.

Pelantun lagu Menahan Rindu itu juga yakin dengan kelainan yang bakal dibawakan oleh mereka berdua mampu menarik perhatian pendengar apabila lagu tersebut dilancarkan nanti.

Terdahulu, lagu yang merupakan nyanyian asal Siti Nordiana bersama Syura Badron itu telah diterbitkan oleh FMC Music pada 2001, menerusi album Syura berjudul Firus.

Sumber: Harian Metro

Fatin Nurain