[VIDEO] Fareed K Clique Sah Bergelar Suami, MK Jadi Wali… Nikahkan Kakak Dengan Kawan Baik Sendiri

Dengan hanya sekali lafaz, ahli kumpulan K Clique, Fareed Saddi akhirnya selamat diijab kabulkan dengan kakak kepada MK, Siti Hawa Hamdan, 30, yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), Kota Kinabalu pada Isnin.

Fareed, 28, yang juga adik kepada penyanyi, Sabhi Saddi itu telah dinikahkan sendiri oleh rakan baiknya, MK atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan mewakili bapanya, Hamdan Abdul Razak dalam sebuah majlis yang cukup meriah dan dihadiri keluarga dan teman rapat sahaja.

Berita gembira itu juga turut dikongsikan oleh Sabhi Saddi menerusi muat naik di Instagram miliknya.

 

Pada majlis yang cukup indah itu,  Fareed yang lengkap berbaju melayu berona putih menyerahkan mas kahwin berbentuk seutas gelang tangan emas beserta lima dulang hantaran berbalas tujuh dari pihak perempuan.

Sementara itu, MK sempat menitipkan ucapan buat kakak dan rakan baiknya itu seusai majlis tersebut berlangsung dan mengucapkan terima kasih kepada semua tetamu yang hadir bagi memeriahkan majlis pada hari tersebut.

“Terima kasih kepada semua yang hadir. Semoga kita semua pun menuju syurga yang indah, InsyaAllah,” katanya.

Selain MK, anggota K Clique yang lain juga turut hadir selaku ‘dulang boy’ pada majlis tersebut.

 

Kredit foto: privela_co, Instagram

Salma Syahbuddin