“Kalau Dah Bernafsu, Berdiri Tegak Pun Nampak Ghairah…” – Beby Acha Akui Susah Nak Tutup Mulut Netizen

Tarian gelek sangat sinonim dengan penyanyi dangdut sehinggakan ada segelintir masyarakat yang menganggap ia mampu mendatangkan perasaan ghairah dalam kalangan penonton.

Namun, menurut penyanyi Beby Acha atau nama sebenarnya, Nur Aishah Md Shari, 31, perkara tersebut sebenarnya terpulang kepada penonton untuk menilainya apatah lagi memang payah untuk menutup mulut netizen di luar sana.

“Pada saya, soal menari gelek mengghairahkan ini bergantung kepada pandangan penonton itu juga. Kadang-kadang, memang kita tak gelek pun, pakai baju biasa saja dan hanya berdiri tegak, tapi ada juga yang cakap dah nampak ghairah. Ini semua ‘pandangan mata’ masing-masing.

“Kalau orang yang menonton itu sudah bernafsu dan cepat berasa ghairah memang tak boleh nak buat apa. Macam saya, tidaklah terlalu bergelek ketika menari di atas pentas. Hanya buat gelek yang simple, sedap mata memandang dan tidak over. Tapi, ada saja yang cakap itu dah nampak mengghairahkan,” katanya.

Sementara itu, Beby Acha mengakui selain lagu irama dangdut dia juga bersedia untuk membawakan lagu dengan genre yang berbeza.

“Walaupun saya suka menyanyi lagu bergenre dangdut, namun saya juga sentiasa bersedia menyanyikan lagu genre lain. Bagi saya, sebagai penyanyi harus berani mencuba dan versatil,” jelasnya.

Sebelum ini, Beby Acha pernah terpalit dengan kontroversi apabila lagu Jerung Merah nya pernah didakwa berbaur lucah.

 

Untuk rekod, Beby Acha kini sudah merakamkan tiga lagu dangdut nyanyiannya iaitu Anje Baby, Mama Bonita dan Jerung Merah.

Manakala, single terbaharunya berjudul Uda dan Dara turut dipilih menjadi lagu runut bunyi bagi drama Ada Apa Dengan Saka yang ditayangkan di TV9.

 

 

Sumber: Harian Metro

Salma Syahbuddin