Kalau Jadi Juara BBB 2019, Achey Cadang Nak Tambah…

Pelawak Achey memberitahu bakal memilih Black sebagai pasangan yang akan digandingkan di pentas akhir Bintang Bersama Bintang yang bakal berlangsung pada minggu ini.

Kata Achey atau Mohd Nasir Hamzah, dia berharap dapat mencipta kejutan dalam persembahannya di pentas final nanti.

” Sejak minggu ketiga lagi saya sudah hubungi Black dan mengajaknya untuk beraksi sama di pentas akhir BBB2019. Alhamdulillah dia setuju.

” Saya sudah mengusulkan jalan cerita sketsa dan Black akan mengendalikan bahagian lagu. Jujurnya, bahagian lagu adalah benda yang paling sukar,” katanya kepada XTRA. 

Ketika ditanya sekiranya berjaya membawa pulang gelaran juara musim ini, Achey berhasrat untuk menambah aset dengan duit kemenangan RM 100,000.

” Setiap kali menang dalam pertandingan, hadiah wang tunai saya akan laburkan dengan membeli aset atau benda yang kita boleh nampak.

” Insha Allah jika ada peluang, saya mahu kumpul duit untuk buat rumah ataupun mengerjakan Umrah bersama keluarga tersayang. 

” Sekiranya menang, saya anggap ia rezeki orang tersayang yang disalurkan menerusi saya,” akhirinya.

Saksikan persembahan Achey di pentas akhir BBB 2019 pada Ahad depan bermula jam 9 malam di TV3!

Wartawan: SGMS Fas

SGMS Faida