‘ Kalau Nak Meninggal…Meninggal Juga,’ Siti Nurhaliza Kongsi Detik Manis Bersama Allahyarham Pak Ngah

“ Memang Siti tahu arwah menghidap penyakit jantung dan kencing manis. Selalu Siti ingatkan arwah supaya menjaga kesihatan. Tetapi arwah akan cakap: ‘Kalau nak meninggal… meninggal juga’,” demikian kata penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza dalam nada sedih.

Penyanyi nombor satu negara itu hadir di Masjid Jamek Kg Baru bagi memberi penghormatan terakhir kepada komposer terkenal, Pak Ngah, semalam.

Siti  menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan besar kepada industri hiburan, khususnya penggemar irama Malaysia.

“ Pemergiannya membuatkan Siti rindui keletah dan gelagatnya yang suka membuat lawak.

“ Arwah antara individu awal yang saya kenal ketika memulakan langkah dalam bidang nyanyian.

“ Kali pertama berjumpa, saya sangka arwah garang. Takut juga, tetapi selepas mengenalinya lebih rapat, Pak Ngah sebenarnya suka berlawak dan mengusik. 

“ Sebahagian besar konsert yang Siti jayakan adalah di bawah seliaannya,” katanya.

Penyanyi tersohor itu juga berkata, dia terkilan hasrat untuk mendapatkan lagu terbaru ciptaan arwah tidak kesampaian.

“ Dulu lagu Cindai antara karya agung yang dihasilkan arwah. Lagu itu disukai ramai, malah diterima baik pendengar di pelbagai negara termasuk Indonesia, Singapura dan Brunei.

“ Biarpun kini arwah sudah tiada, Siti tetap akan teruskan perjuangannya memartabatkan irama Malaysia dengan cara tersendiri. Itu yang selalu arwah pesan,” katanya.

Al- Fatihah buat Allahyarham Pak Ngah atau nama sebenarnya Suhaimi Mohd Zain. Semoga ditempatkan bersama kalangan orang-orang beriman, Insya Allah…

SGMS Faida