“Kalau Tak Tahu Cerita, Jangan Memandai-Mandai” – Didakwa Tuding Jari Kepada Seniman, Pengarah Selar Kenyataan Fizz Fairuz

Susulan insiden mata kiri pelakon Fasha Sandha cedera terhentak di bucu katil ketika menjalani penggambaran, pelakon Datuk Fizz Fairuz tampil meluahkan rasa sedih.

Menerusi hantaran di Instagram, Fizz mengaku itulah nasib yang harus dilalui oleh anak seni, malah menyifatkan insiden yang menimpa Fasha sebagai malang tidak berbau.

“Allahu… Berlakon tak payah la beria sangat. Lakonan ada asasnya.

“Inilah nasib anak seni, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tak ada… Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) tak gerak pun dari dulu.

“Yang merana artis…kena tanggung sendiri kalau mampu, kalau tak mampu.. Mereput dalam rumah. Faham-faham sajalah,” katanya.

Ekoran kenyataan yang dibuat Fizz itu, pengarah drama ‘Anak Tuan’, Along Kamaludin tampil membidas kenyataan tersebut.

Along meminta Fizz untuk tidak memandai -mandai dalam mengeluarkan kenyataan terhadap insiden yang berlaku.

“Macam ni lah, kalau tak tahu cerita, janganlah memandai-mandai. Nak Jadi keyboard warrior FULL STOP. Kemalangan terjadi dimana-mana,” tulisnya.

Malah, dia juga menolak dakwaan Fizz kononnya Persatuan Seniman tidak melakukan apa-apa sekiranya terjadi sebarang insiden atau masalah yang menimpa anak seni.

“Benda nak jadi tak perlu nak salahkan sesiapa. KUN FAYAKUN.

“Masa aku sakit terlantar dekat hospital dulu, Seniman ada bagi sumbangan sebanyak RM500. Walaupun aku tak meminta. Macam ni tuduh Seniman tak buat apa-apa?,” jelasnya.

Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian XTRA, hantaran tersebut telahpun dipadam oleh Fizz.

Salma Syahbuddin