Kamal Adli & Ain Edruce Hos Baru Program Lagu Cinta Kita Musim Ke-3!

Diadaptasi daripada program popular CJ ENM, ‘Love At First Song’, program ‘hybrid music dating’ yang dinamakan sebagai Lagu Cinta Kita versi Malaysia kini kembali untuk musim ke-3 (LCK3).

Bersiaran selama 8 episod, LCK3 akan menampilkan sisi personaliti pesertanya agar sentiasa dekat dihati penonton.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad dan Primeworks Studios, Datuk Khairul Anwar Salleh, program LCK merupakan sebuah program yang unik kerana menampilkan peserta berbakat dari segi nyanyian dan tugasan-tugasan yang diberikan.

“Untuk musim baharu ini, kami ingin mempersembahkan sisi personaliti para peserta yang lebih menarik buat tatapan penonton.

“Program ini juga membuka peluang kepada rakan-rakan penaja untuk bekerjasama dengan kami dalam pendekatan yang lebih kreatif dan berkesan,” katanya.

Hos baru gantikan Kak Lina Pom Pom & Diva AA

Selain itu, LCK3 kali ini turut menggandingkan dua selebriti popular tanah air sebagai hos barunya iaitu, Kamal Adli dan Ain Edruce.

Pemilihan hos baru ini sekaligus menggantikan pengacara musim lalu iaitu, Elly Mazlein dan Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA.

Manakala, Ajai dan Mas Idayu pula masih dikekalkan untuk memegang tanggungjawab sebagai juri tetap pada musim kali ini.

Bukan itu sahaja, selebriti popular tanah air juga akan dijemput pada setiap episod LCK3 nanti dan mereka akan diberikan tugas sebagai panelis cinta.

Untuk makluman, juara LCK3, akan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM50,000. Tempat Kedua, RM30,000 dan tempat ketiga akan menerima RM20,000.

Jadi, siapakah agaknya yang bakal dinobatkan sebagai juara LCK3? Haa, korang kenalah tengok LCK3 bermula 31 Oktober ini, pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam hanya di TV3!

Marcella