“Kau Kencing Mak Bapak Kau Hidup-Hidup, Dah Minta Maaf Belum?”- Hantaran Di IG Curi Perhatian, Aiman Tino Perli Siapa Tu?

Penyanyi dan pelakon, Aiman Tino mencuri perhatian selepas memuat naik foto berupa liang lahad menerusi hantaran di Instagram Story miliknya pada Selasa.

Menerusi perkongsian tersebut, Aiman kelihatan bertanyakan tentang dosa dan hutang yang belum diselesaikan.

“Dah ready belum? Dosa kau dengan orang dah settle belum? HUTANG kau dengan orang dah settle belum? Hutang kau dengan Tuhan dah settle belum? Orang yang kau mengumpat dulu, dah minta maaf belum? Kau kencing mak bapak kau hidup-hidup, kau dah minta maaf belum?,” katanya.

Walaupun tidak menyebut nama mana-mana pihak, namun hantaran berkenaan seolah-olah ditujukan kepada individu yang pernah mencetuskan konflik dengannya sebelum ini.

Terdahulu, pada 16 November 2023, Aiman menerusi kenyataannya kepada sebuah portal hiburan popular, meluahkan rasa kesal dengan tindakan pihak penganjur yang didakwa masih belum melunaskan baki bayaran kerja yang tertunggak sejak empat tahun lalu sebanyak RM 10,000.

Malah, difahamkan individu berkenaan tidak memberikan respons yang baik ketika penyanyi itu cuba menghubunginya bagi menuntut bayaran berkenaan.

Salma Syahbuddin