Categories: #ThrowbackXTRA

#ThrowbackXTRA: Selesa Berdikari Di Usia Muda, Ezzanie Jasny Kongsi Kisah Hidup Bergelar Anak Seni

Pelakon jelita Ezzanie Jasny pernah menyatakan untuk menempa tempat dalam industri seni hiburan tanah air bukanlah suatu perkara yang mudah.

Namun, Ezzanie enggan mendabik dada selepas bakatnya mula disedari ramai sejak kebelakangan ini.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Ezzanie akan berkongsi kisah hidupnya bergelar seorang anak seni.

Menurut Ezzanie, penglibatannya dalam industri seni bermula dari menjadi seorang model.

Bagaimana pun Ezzanie menyatakan dia tidak tertumpu dengan satu sumber mata pencarian sahaja kerana dia juga mempunyai perniagaan sendiri.

”Saya mulakan kerjaya saya dalam industri seni dari modelling seawal usia sekolah menengah. Tapi dalam masa yang sama saya juga ada perniagaan di mana saya ada sebuah studio fotografi sendiri,” katanya.

Mengakui sebelum ini kerjaya lakonannya tidaklah seaktif sekarang, Ezzanie berkata dia selesa dengan kedudukannya kini.

”Alhamdulillah, saya bersyukur kerjaya saya sebagai seorang model, berlakon dan perniagaan saya berjalan selari. Jadi, kalau saya kurang berlakon pun saya masih boleh buat modelling dan berniaga,” jelasnya.

Selesa menjadi seorang yang berdikari, Ezzanie turut mengakui dirinya masih dipantau oleh ibu bapanya memandangkan usianya masih muda.

“Kadang-kadang, mereka terpaksa lepaskan anak dia sebab saya ni agak degil. Saya nak apa yang saya nak. Mereka pantau dari jauh.

“Mereka bimbang bila saya balik lambat kalau shooting, jadi mereka akan call. Tapi bab-bab kerja ni mereka tahu saya boleh jaga diri,” katanya.

Fatin Nurain