Categories: #ThrowbackXTRA

#ThrowbackXTRA: Berjaya Tembusi Layar Perak Negara Jiran, Fattah Amin Kongsi Pengalaman Bekerja Di Indonesia

Pelakon Fattah Amin berjaya menembusi pasaran layar perak negara jiran, Indonesia menerusi filem Trinil: Kembalikan Tubuhku, baru-baru ini.

Selain meraih sambutan positif, filem tersebut juga membuka peluang untuk Fattah melebarkan sayap dalam industri lakonan di sana.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Fattah tampil berkongsi pengalamannya sepanjang bekerja di Indonesia, sejak beberapa tahun yang lalu.

Perbezaan Waktu Bekerja

Menurut Fattah, dia sedar waktu bekerja di Indonesia agak berbeza berbanding di Malaysia.

Selain menjaga keseimbangan kehidupan bekerja, pasukan produksi di sana amat cekap dalam mengendalikan setiap tugasan ketika di set penggambaran.

“Sana agak tersusun, kita start pagi tapi habis tidak terlalu lewat. Kalau malam pun paling lewat pukul 10 dan tidak sampai subuh. Bagi saya mereka sangat menjaga masa.

“Lagipun pasukan produksi mereka sangat ramai. Setiap orang akan jaga satu artis sebab mereka ada garis masa yang tetap, kalau 18 hari shoot mereka kena habiskan masa itu.

“Bila semua jaga kerja masing-masing tu buat kerja kita mudah. Lagipun di sana banyak filem yang mereka hasilkan dalam sebulan. Jadi bagi saya, mungkin mereka dah biasa,” katanya.

Belajar Bahasa Indonesia & Jawa

Tambah Fattah, dia juga berkesempatan untuk belajar bahasa Jawa dan Indonesia demi mendalami watak yang dijayakan menerusi filem lakonannya itu.

“Untuk filem Trinil ini, saya banyak kena menggunakan bahasa Jawa dan Melayu baku. Jadi saya banyak menghafal bahasa Jawa terutamanya yang melibatkan mantra.

“Saya pun ada ambil kelas bahasa Indonesia tapi bergantung pada skrip juga. Saya pun banyak bertanya dengan isteri saya, Fazura kerana dia banyak berlakon di sana,” jelasnya.

Fattah berkata, dia sentiasa terbuka untuk menerima tawaran untuk berlakon di sana memandangkan peluang untuk melebarkan sayap di negara itu disambut dengan baik.

“Sekiranya ditawarkan untuk terus bekerja di sana saya akan berlapang dada untuk bekerjasama. Tapi saya memang ada filem di Indonesia akan datang,” ujarnya.

Fatin Nurain