Categories: #ThrowbackXTRA

#ThrowbackXTRA: Lagu ‘Healing’ Tambat Hati Pendengar, Amir Jahari Kongsi Proses Hasilkan ‘Hasrat’

“Teriaklah, berhentilah berharap. Teruskan hidupmu, kuingin pulang,” itulah bait lirik indah disebalik lagu Hasrat yang berjaya menambat hati ramai di Anugerah Juara Lagu 38 (AJL38), Ahad lalu.

Umum tahu, penyanyi Amir Jahari berjaya merangkul takhta Juara AJL38 selepas mempertaruhkan lagu hasil ciptaan sepenuhnya itu.

Menerusi segmen #ThrowbackXTRA minggu ini, Amir tampil berkongsi proses pembikinan lagu yang menjadi runut bunyi untuk filem Imaginur.

Disebalik melodi yang tenang dan sedap didengar, Amir menyatakan seluruh isi lagu Hasrat itu berkait rapat dengan kehidupannya.

Terinspirasi dari kisah hidup sendiri, Amir mengakui dia tidak sangka lagu tersebut mampu menyentuh hati ramai.

“Lagu ini dihasilkan pada 2020. Ketika itu, pengarah filem Imaginur, Nik Amir Mustapha minta saya untuk cipta lagu untuk karyanya itu.

“Bila saya baca sinopsis, saya terbayang perjalanan kisah hidup sendiri. Jadi, pengalaman yang saya lalui dikongsi dalam Hasrat.

”Alhamdulillah, bila orang dengar, mereka boleh rasa dan kaitkan dengan hidup sendiri dan terus anggap lagu tu untuk ‘healing’ padahal lagu tu untuk menangis,” katanya.

Menurut Amir, dia benar-benar tidak sangka lagu tersebut berjaya meraih gelaran juara untuk anugerah berprestij itu buat pertama kali.

“Saya tak pernah berada di tempat pertama sebelum ini. Paling tinggi pun nombor dua. Jadi, saya rasa pelik bila jadi juara,” jelasnya.

Bagaimana pun, penyanyi dan komposer kelahiran Sarawak ini juga nekad untuk menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan berjasa kepada negara.

“Kalau boleh, biarlah mereka yang dengar lagu saya dapat sesuatu seperti perasaan, nasihat dan manfaat. Bukan sahaja untuk memberi hiburan, saya mahu jadi komposer yang dapat menyumbangkan bakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Fatin Nurain