Kecewa Ditinggal, Fadhlan Tulis Lagu Untuk Bekas Kekasih

Pernah ditinggalkan kekasih, penyanyi Fadhlan Razali nekad menyuarakan suara hati menerusi lagu terbarunya bersama kumpulan ROMEO.

Menurut penyanyi berusia 24 tahun ini, lirik lagu berkenaan mengangkat pengalaman sebenar selepas ditinggalkan.

“ Selepas beberapa tahun bercinta, hubungan saya dan si dia terkandas di tengah jalan. Mungkin disebabkan pekerjaan saya tidak stabil sebelum ini. Tak apalah, saya akur dengan perpisahan ini.

“ Khabarnya, si dia juga sudah bertemu pengganti dan bakal berkahwin tidak lama lagi. Saya doakan yang terbaik untuk dia,” katanya memaklumkan single ini masih belum diberi tajuk lagi.

Sementara itu, lagu ini juga merupakan projek sulung Fadhlan bersama kumpulan ROMEO.

Jika sebelum ini, kumpulan yang terdiri daripada enam anak muda ini belum pernah memiliki vokalis tetap, tahun 2019 bakal menyaksikan sedikit kelainan.

“ Kumpulan ROMEO menawarkan untuk menjadi vokalis tetap mereka dan saya terima dengan hati terbuka. Kami akan bergerak aktif bermula awal Januari ini. Insha Allah, doakan karya kami mendapat tempat di hati pendengar,” katanya kepada xtra.

Kumpulan Romeo turut dianggotai oleh Imal (Gitar), Ami (Gitar), Apiz (Bass), Apal (Drum) dan Atim (Keyboard).

Menariknya, mereka turut mendapat khidmat nasihat daripada pemuzik terkenal, Shah Slam untuk susun atur kerjaya seni.

SGMS Faida