“Kena Hormat Isteri, Apabila Jadi Suami Diri Sendiri Kena Betul…” – Yusuf Bahrin Elak Bersentuhan Dengan Pelakon Wanita

Pelakon Yusuf Bahrin, 29, mengakui sepanjang terlibat dengan perkara-perkara keagamaan dan kini bergelar sebagai seorang suami, beliau menyedari bahawa peranan pemimpin dalam rumah tangga itu amatlah penting.

Menurutnya, dia perlu memperbaiki diri sendiri dan membimbing isterinya yang juga penyanyi, Zizi Kirana ke jalan yang diredhai Allah.

 

Oleh itu, Yusuf menegaskan akan membataskan diri dalam pergaulan serta mengelak daripada bersentuhan dengan pelakon wanita.

“Apabila dah jadi suami, diri sendiri kena betul kerana tak mahu pengikut jadi songsang. Suami adalah cerminan isteri dan isteri akan sedar, dia pun akan ikut.

“Saya ada satu drama ni dah habis penggambaran sebelum PKP hari tu. Masa tu saya belum kahwin dan masih tak tahu (batas pergaulan).

“Saya hanya fikir pasal kerja, jadi benda tu haram, ada scene sentuhan. Tapi sekarang saya dah faham sikit-sikit, saya kena jaga perkara itu,” katanya.

Tambahnya lagi, sekiranya ditawarkan dengan watak yang melibatkan sentuhan, beliau akan memaklumkan sendiri kepada pengarah berkenaan melainkan ia hanyalah sekadar dialog kerana perlu menghormati isterinya.

Terdahulu, Yusuf memuat naik hantaran dilaman instagram miliknya ketika menghadiri kuliah Dhuha yang turut dihadiri oleh Ustaz Wadi Annuar.

Salma Syahbuddin