Kenapa Cemburu Dengan Sherry?

Dilihat begitu serasi bergandingan ketika awal kemunculan mereka, tuah bagaimanapun lebih menyebelahi Sherry Alhadad untuk menyerlah, berbanding teman baiknya, Zulin Aziz.

Kelebihan itu tidak sedikitpun membuatkan Zulin cemburu, sebaliknya dia berbangga dengan pencapaian Sherry yang berjaya membuktikan bakat dan kemampuan tanpa bersandar kepada kontroversi.

Zulin berkata, meskipun sudah jarang kelihatan bersama, hubungan mereka tetap rapat, malah saling menyokong antara satu sama lain.

“Kami masing-masing sibuk, jadi masa untuk melepak bersama memang terbatas. Setiap manusia sudah tertulis rezekinya dan saya bangga melihat bakat Sherry semakin diakui.

“Dia ada kelebihannya dan saya juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Mungkin rezeki dia untuk menyerlah lebih awal, tetapi itu tidak bermakna saya ketinggalan. Alhamdulillah, saya selesa dengan apa yang saya capai hari ini.

“Jika ada yang bertanya, apakah saya cemburu dengan kejayaan Sherry, jawapannya sudah tentu tidak. Dia berusaha keras untuk berada pada kedudukannya hari ini, begitu juga saya,” kata Zulin yang mencipta nama menerusi program realiti, Pilih Kasih.

Zulin berkata, sejak awal bergandingan, dia dan Sherry mempunyai kecenderungan yang tersendiri. Jika Sherry selesa dengan dunia pengacaraan, Zulin pula mahu mempelbagaikan kemampuan, termasuk mencuba bidang nyanyian.

“Syukur rezeki saya dalam bidang seni tetap ada. Walaupun sudah tidak lagi menjadi penyampai radio, saya masih menerima tawaran untuk mengacara majlis dan program tertentu.

“Saya tidak rasa diri ‘sendu’ kerana bakat saya tidak pernah dilupakan. Saya juga masih mendapat peluang muncul di skrin televisyen. Terbaru, saya bergandingan dengan Tauke dan Man Raja Lawak menyertai Muzikal Lawak Superstar,” katanya.

Zulin dan Sherry sebelum ini, pernah bergandingan mengendalikan siaran langsung Anugerah Skrin, seterusnya diberi kepercayaan sebagai hos Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL).

Keampuhan bakat mereka sekali lagi terbukti apabila diamanahkan mengendalikan program hiburan popular TV3, Melodi bersama Awal Ashaari pada 2015.

Kredit: Berita Harian Online

SGMS Enal