Sebagai individu bertubuh besar, pelakon Syanie mengakui dia terasa hati dengan status yang dimuat naik seorang penggiat industri fesyen di laman sosial, baru-baru ini.

Apa tidaknya, status berkenaan seolah-olah mempersendakan orang-orang berbadan besar.

“ Status berkenaan tidak seharusnya dimuatnaik oleh individu yang selama ini saya hormati,” katanya.

Tambah Syanie, beliau selama ini kagum dengan penggiat fesyen terkenal berkenaan namun selepas kenyataanya itu, sudah tentu tanggapannya berubah!

” Dia tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang seolah-olah mempersenda mereka yang bertubuh besar. 

“ Apakah orang bersaiz besar tidak layak menghadiri pertunjukan fesyen? Apakah kami hanya sesuai duduk di rumah?

“Saya tiada masalah jika dia mahu mengkritik fesyen yang digayakan individu bertubuh besar. Itu haknya, tetapi jangan menghina seolah-olah kami hanya layak duduk di rumah,” katanya.

Terdahulu, pengkritik fesyen itu memuat naik status yang mengundang kemarahan netizen di laman sosial apabila meluahkan ketidakselesaan dengan kehadiran individu bertubuh besar dalam pertunjukan fesyen.

Tambah Syanie, dek kenyataan itu juga secara tidak langsung membuatkan golongan bersaiz besar tiada keyakinan diri untuk tampil ke depan.

“Kenyataannya itu ibarat menafikan hak dan menindas orang bertubuh besar untuk bersama-sama dalam sesuatu acara atau hidup bersosial.

“Mentaliti seperti ini yang membuat orang berbadan besar berasa rendah diri dan kurang keyakinan. Jangan pandang rendah kerana kami juga layak dihormati,” akhirinya.

SGMS Faida