‘Tak Mungkin Anak Saya Selfie Ketika Majlis Pengebumian’ – Ibu Zahirah

“ Anak saya tak mungkin berswafoto ketika pengebumian ibu Zul, Robiah Nasir pada 5 Disember lalu,” demikian kata Ibu Zahirah Macwilson, Maslinda Yusof yang menangkis kenyataan bekas kekasih anaknya itu.

Dalam masa sama, Maslinda berharap orang ramai tidak mudah percaya dengan kenyataan Zul Ariffin terhadap anaknya itu.  

Sebagai ibu, beliau percaya Zahirah sudah cukup dewasa untuk melakukan sesuatu terutama di khalayak ramai.

“ Saya percaya dan sentiasa berdoa yang terbaik untuk Zahirah. Pada masa sama, saya turut bersimpati dengan keadaan Zahirah yang kini menjadi mangsa fitnah kerana ia perbuatan yang tidak masuk akal.

“ Saya mendoakan agar dia terus tabah dan yakin Allah mengetahui segalanya,” jelasnya kepada salah sebuah portal hiburan tempatan.

Dalam pada itu, Maslinda menyerahkan segala keputusan melibatkan soal pilihan hidup kepada Zahirah dan enggan mengulas lanjut mengenai punca hubungan anaknya dengan Zul putus di tengah jalan.

“Saya memberi sepenuh kepercayaan bahawa dia boleh hadapi apa jua masalah yang di hadapi sekarang. Saya tak akan masuk campur urusan peribadi anak-anak kecuali mereka meminta pendapat,” ujarnya.

Baru-baru ini, Zul Ariffin telah mengeluarkan kenyataan bahawa antara faktor dia dan Zahirah berpisah kerana pelakon drama rantaian Duda Pujaan Dara itu dilihat berswafoto sekaligus tidak menghormati jenazah ibunya.

Zahirah atau nama sebenarnya Nur Zahirah Macwilson Zainol merupakan anak kepada aktor veteran Zainol Macwilson hasil perkongsian hidup dengan Maslinda sebelum kedua-dua berpisah sekitar November 2015.

SGMS Faida