“Kerana Nila Setitik, Rosak Susu Sebelanga” – Imam Muda Hassan Terkesan Dengan Isu Pendakwah Tak Bermoral

Pendakwah bebas, Hassan Adli, 37, menyifatkan apa yang terjadi ke atas beberapa ‘ustaz selebriti’ yang terpalit dengan isu tidak bermoral ketika ini adalah ujian hidup masing-masing.

Hassan yang terkenal dengan panggilan Imam muda Hassan berkata, perkara begitu tidak sepatutnya berlaku kerana mereka dikenali dan dihormati masyarakat.

“Isu ini sensitif. Malah, ada antara kes masih dalam siasatan pihak polis dan perbicaraan undang-undang. Tapi, kalaulah betul berlaku, pada saya perkara itu tidak sepatutnya dibuat. Apatah lagi, ia membawa nama ‘orang dikenali. 

“Walaupun apa yang berlaku itu adalah ujian hidup, tapi apabila pelaku dikenali semestinya ia juga terpalit sama pada orang lain yang turut akan dipandang serong. Umpama pepatah, kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” katanya.

Tambah Hassan, dosa kepada Allah SWT itu tetap berdosa, tapi sepatutnya tunjukkan yang baik kepada masyarakat.

Turut mengakui dia juga terkesan akibat terkena tempias daripada isu yang timbul, Hassan berkata, situasi menjadi besar kerana ‘gelaran’ agama yang digalas itu.

“Jadi, apabila berlaku perkara-perkara sebegini (terkait isu tidak bermoral) ia akan boleh memberi kesan kepada persepsi masyarakat. Tapi tidak semua pendakwah selebriti bersikap begitu (tidak bermoral). Ramai lagi yang baik-baik dan boleh dijadikan contoh.

“Apapun, kisah-kisah kehidupan sebegini sebenarnya sudah ada diceritakan di dalam al-Quran dan kita semua harus mengambilnya sebagai iktibar serta pengajaran. Bahkan, cerita-cerita Al-Quran itu relevan hingga ke hari ini.

“Antaranya, kisah pada zaman Nabi Musa ada orang yang sangat baik dan doanya mustajab, tapi akhirnya dia mati dalam keadaan mengerikan sebab terpesong. Begitu juga, kisah kaum Nabi Luth, dah ada hari ini. Termasuk kisah Firaun. Walaupun hari ini tak ada orang nama Firaun tapi watak Firaun itu ada dalam diri,” katanya.

Terdahulu, seorang selebriti lelaki telah direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes amang seksual fizikal yang didakwa dilakukannya terhadap beberapa remaja lelaki bawah umur

Di media sosial pula, isu berkenaan turut tular malah netizen dikatakan mula menyerang Instagram selebriti berkenaan dengan pelbagai pertanyaan.

Ada juga mendakwa suspek adalah seorang penceramah bebas, pengacara program televisyen dan pelakon.

ARTIKEL BERKAITAN: Penceramah Bebas Kenal Mangsa Amang Seksual Melalui Program Motivasi

ARTIKEL BERKAITAN: Amang Seksual Fizikal Remaja Lelaki Bawah Umur, Selebriti Lelaki Ditahan Polis – “Dipercayai Menggunakan Kaedah Memujuk, Mangsa Trauma!”

Sumber: Harian Metro

Khairil Khusyairi