Categories: Trending

Penceramah Bebas Kenal Mangsa Amang Seksual Melalui Program Motivasi

Mangsa amang seksual mula berkenalan dengan suspek yang merupakan seorang penceramah bebas berusia 40-an ketika terbabit dalam program motivasi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, setakat ini, Polis Kontinjen Selangor menerima empat laporan iaitu dua di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, satu di IPD Shah Alam dan satu di IPD Kajang.

Laporan polis itu dibuat oleh empat individu berusia 17 hingga 18 tahun yang mendakwa menjadi mangsa amang seksual fizikal oleh suspek.

“Siasatan awal pihak polis mendapati, suspek berusia lingkungan 40-an berkenalan dengan mangsa dalam program motivasi yang diadakan di sekolah di sekitar negeri Selangor.

“Hasil daripada perkenalan itu, suspek didakwa bertindak melakukan jenayah amang seksual fizikal kepada semua mangsa,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Tambah Arjunaidi, bertindak atas maklumat berikut, sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor membuat tangkapan ke atas suspek pada jam 4 petang, Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor.

“Kebenaran tahanan reman selama enam hari mulai semalam sehingga 14 September diperolehi dari Mahkamah Majistret Klang bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut ke atas suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual TerhadapKanak-Kanak 2017,” katanya.

Tambah Arjunaidi lagi, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini kerana ia akan menjejaskan siasatan serta boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

Padin