Kerap Digandingkan Dengan Heroin Cantik, Shukri Yahaya Tiada Sebab Menduakan Isteri

“Konsep saya senang, selesai berlakon dan terus habis,” demikan kata pelakon Syukri Yahaya yang kerap digandingankan dengan heroin cantik dalam setiap karya lakonannya.

Menurut Shukri, dia tidak mempunyai sebarang sebab untuk menduakan isterinya, Tya Adnan sebaliknya memilih untuk bersikap profesional setiap kali di set penggambaran.

“Tak ada nak terbawa-bawa watak dalam drama itu hingga balik ke rumah. Sebab, saya hanya melakonkannya (watak) di lokasi saja.

“Saya dan isteri juga sudah kenal lama serta kami pun dah dikurniakan dua anak. Jadi, saya tak pernah terfikir nak buat benda-benda macam itu (curang). Lagi pula, kerja saya memang berlakon,” katanya.

Memetik laporan Harian Metro, Shukri turut meluahkan rasa syukur apabila ramai dalam kalangan peminantnya mendoakan kesejahteraan rumah tangganya agar tidak berdepan gangguan dari mana-mana pihak ketiga.

“Di media sosial juga ada netizen yang menulis komen, ‘jangan usik Shukri Yahaya’ dan ia baguslah kerana ada mereka (netizen) yang mengingatkan,” katanya.

Untuk rekod, Shukri dan  Tya telah berkahwin pada November 2015 dan dikurniakan sepasang cahaya mata, Aaira Ameena, 8 dan Maleeq Miqayl, 4.

Sumber: Berita Harian

Fatin Nurain