“Cermin Diri Dulu Sebelum…” – Puji Tindakan Suami ‘Back Up’ Liyana Jasmay, Che Ta Gemar Bersiap Sebelum Jadi Artis Lagi

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan atau lebih mesra disapa Che Ta pernah menjadi mangsa kecaman sehingga mengganggu emosinya.

Memetik laporan Berita Harian, justeru, apabila suaminya, Zain Saidin tampil mempertahankan pelakon Liyana Jasmay yang menjadi mangsa ‘face shaming’, Che Ta memuji tindakan Zain.

Menurutnya, dia juga berpendapat yang sama dengan suaminya dimana netizen sepatutnya melihat diri sendiri terlebih dahulu sebelum mencemuh orang lain.

“Saya rasa tindakan Zain membela Liyana itu sangat bagus. Netizen mengata Liyana tak adalah cantik mana pun. Pandai mengata orang, tapi tak nak tengok cermin.

“Sebagai artis, kadang-kadang dia nak jadi diri sendiri. Mungkin dia malas dan penat nak bersiap dan mahu nikmati momen seperti itu bersama keluarga.

“Liyana masih muda dan kebetulan juga wanita yang ‘sempoi’, jadi tak adalah nak bersiap sangat. Setiap orang ada hak dan mempunyai keinginan berbeza,” katanya.

Meskipun Zain tiada masalah sekiranya tampil berwajah polos, namun Che Ta lebih gemar berdandan pada setiap masa.

“Setiap orang ada cita rasa sendiri dan saya memang sudah terbiasa bersiap sejak sebelum jadi artis lagi. Duduk rumah pun saya akan bersiap.

“Kadang-kadang pergi ambil kad laporan anak di sekolah pun saya pakai kanta pelekap,” ujarnya yang terkenal dengan imej bulu mata palsu ini.

Terdahulu, Zain menerusi sesi live di TikTok tampil membuat teguran kerana tindakan individu membuat ejekan wajah terhadap Liyana itu sebagai tindakan salah.

Semasa live tersebut, Zain berharap Liyana tidak mengambil pusing kata-kata netizen kerana menyifatkan pelakon itu memiliki kecantikan tersendiri.

ARTIKEL BERKAITAN: Wajah Liyana Jasmay Tanpa Makeup Teruk Dihina, Zain Saidin Tampil Pertahankan! – “Nanti Muka Awak Kedut & Reput Juga…”

Maya Basir