Kerap Diserang Anxiety, Stacy Elak Makan Makanan Pedas Menjelang Konsert

Penyanyi Stacy tampil menyatakan dirinya terpaksa mengelak mengambil makanan pedas menjelang konsert sulungnya yang bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.

Menurut Stacy, dia baru menyedari makanan pedas sebenarnya boleh menyebabkan dirinya diserang rasa anxiety.

Malah, penyanyi itu turut mempunyai masalah pedih ulu hati atau gerd yang merupakan penyakit berketurunan.

“Menjelang hari konsert, saya mengelak daripada makan makanan pedas. Saya baru sedar sebenarnya makan makanan pedas itu boleh membuatkan saya ‘anxiety’.

“Malah penata gaya saya turut memberi beberapa saranan termasuk mengelak untuk makan makanan pedas. Baru saya sedar pekerjaan saya memerlukan disiplin yang tinggi,” ujarnya.

Stacy turut menyatakan dirinya akan menggigil  dan jantungnya akan berdegup dengan laju setiap kali perasaan itu menyerangnya sehingga menyebabkan hilang fokus.

Pelantun lagu Kisah Dongeng itu bagaimanapun mampu menanganinya dengan sendiri dengan sokongan dan bantuan ahli keluarga tanpa perlu mendapatkan rawatan daripada pakar.

“Setiap kali berkongsi dengan Akim (suami), dia akan meminta saya untuk bertenang dan jangan terlalu memikirkan perasaan tersebut.

“Ahli keluarga juga akan menegah saya untuk duduk bersendirian, sebaliknya menyibukkan diri dengan melakukan aktiviti lain,” katanya.

Selain itu, Stacy turut mendedahkan dia sebenarnya mula mengalami serangan anxiety sejak dibangku sekolah menengah lagi.

“Ketika itu saya tidak tahu masalah yang dialami ini disebabkan oleh serangan anxiety. Sebaliknya saya ingatkan saya ada ‘superpower’. Sekarang barulah saya tahu selepas ada kesedaran tentang perkara itu,” jelasnya.

Perkara itu telah didedahkan oleh Stacy ketika ditemui di Majlis Pelancaran Single Teriak, semalam.

Fatin Nurain