Dengan Sekali Lafaz, Yuna Rahim Sah Bergelar Isteri Kepada Nurakmal

Pelakon Yuna Rahim selamat mendirikan rumah tangga bersama jejaka pilihannya yang juga seorang ahli muzik, Muhammad Nurakmal Ayub, yang berlangsung di sebuah hotel di Mutiara Damansara, di sini, pagi tadi.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pelakon I Love You Mr Clown itu sah bergelar isteri kepada Nurakmal dengan sekali lafaz pada upacara pernikahan yang berlangsung pada pukul 11 pagi.

Dalam majlis yang dihadiri 100 tetamu itu, Yuna menerima mas kahwin RM300 berserta lima dulang hantaran, berbalas tujuh untuk pengantin lelaki.

Dalam pada itu, Yuna turut memanjatkan rasa syukur apabila segala perancangan pada hari bahagianya berjalan dengan lancar.

“Saya gembira dan bersyukur semuanya berjalan seperti apa yang dirancang. Terima kasih kepada semua pihak yang membantu merealisasikan majlis impian saya selama ini, terutama keluarga kedua-dua pihak.

“Untuk majlis resepsi pula, kemungkinan akan diadakan selepas sambutan hari raya Aidilfitri nanti. Tarikh akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Menerusi perkongsian di Instagram, Yuna turut memuat naik beberapa keping foto yang memaparkan dia dan suami di atas pelamin.

Untuk info, Yuna mula menjalin cinta bersama Nurakmal pada pertengahan tahun lalu dan mengikat tali pertunangan pada September lalu.

Khairil Khusyairi