Ketepi Kerjaya Peguam, Sangeeta Tak Pernah Menyesal Jadi Pelakon

Pelakon Sangeeta Krishnasamy mendedahkan tidak pernah menyesal memilih kerjaya pelakon meskipun memiliki ijazah dalam bidang undang- undang.

Kata graduan jurusan undang-undang di University of London, kampus Malaysia ini, dia mengaku kerjaya lakonan sangat dekat dengan jiwanya.

“ Cinta saya terhadap lakonan sangat mendalam. Saya rasa lebih puas apabila berada di set penggambaran. Saya berhasrat membina ‘jambatan’ di antara pendidikan dan dunia seni.

“ Pelakon mempunyai tanggungjawab besar dalam menyampaikan mesej bernilai kepada masyarakat. Atas kesedaran itu, saya mahu terus berada di sini (industri lakonan) untuk terus meluaskan nilai-nilai baik kepada orang ramai,” kata Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-29 ini.

Sementara itu, pelakon utama filem Adiwira Ku memaklumkan bakal berangkat ke New York sekitar bulan Jun nanti bagi mengikuti kursus pendek penulisan skrip dan lakonan.

“ Saya kini sedang menyiapkan penggambaran filem Adiwiraku 2 yang dijangka selesai Jun ini.

“ Selepas itu saya merancang bertolak ke New York dan dijangka tinggal di sana selama tiga bulan.

“ Saya teruja kerana ini kali pertama saya menjejakkan kaki ke sana dan menjalani pengajian Akademi Filem New York, Amerika Syarikat adalah impian saya,” katanya.

Lebih istimewa, pengajian bintang Rise: Ini Kalilah turut ditanggung sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS). Good Luck Sangeeta!

SGMS Faida