Khai Bahar Nyanyi Lagu Tagalog ‘Pano’ Versi Bahasa Melayu

Fenomena lagu Tagalog berjudul Pano ciptaan dan nyanyian sepenuhnya Zack Tabudlo dari Filipina sememangnya terasa hingga ke Malaysia. Melodi serta cara penyampaian Zack dalam lagu itu berjaya meresap jauh ke dalam lubuk hati pendengar tanpa perlu memahami bahasanya.

Versi bahasa Melayu lagu itu kini diterbitkan pula dan Khai Bahar dipilih menggalas tanggungjawab berkenaan. Diberi judul ‘Bagaimana’, versi Melayu terbabit mendapat sentuhan penerbit muzik tersohor, Johan John yang mana proses rakamannya dibuat di JK Music Vibe Studio dan liriknya diolah semula oleh Shah Shamshiri.

Khai mengakui sangat berbesar hati diberi kepercayaan menyanyi lagu yang cukup ikonik itu. Apalagi dia sendiri memang pencinta muzik balada dan mendapat lagu itu bonus baginya.

“Keindahan lagu Pano terletak pada irama baladanya yang cukup mendayu. Tidak hairanlah lagu berkenaan amat popular sehingga mendapat tontonan lebih 104 juta di YouTube meskipun ia berbahasa Tagalog. Cukup mengagumkan.

“Disebabkan itulah juga saya sangat gembira apabila ditawarkan Universal Music Malaysia untuk bekerjasama dalam projek lagu Bagaimana. Ini satu peluang keemasan untuk saya galas sebaiknya demi pastikan versi Melayunya juga sehebat lagu asal,” katanya.

Bercerita mengenai pembikinan muzik video (MV) lirik Bagaimana, Khai gembira konsep ditampilkan sangat ringkas tanpa perlu dramatik. Lokasi yang dipilih pun sangat menyenangkan dan menurutnya ia satu pengalaman baharu juga untuknya.

“Penggambarannya dilakukan di sebuah kedai buku BookXcess Sunsuria Forum, Shah Alam. Ia sebuah konsep yang ringkas dan menarik di mana saya belum pernah tampilkan sebelum ini. Prosesnya juga berjalan dengan sangat lancar dan dapat disiapkan dalam masa kurang dari empat jam,” katanya.

Khai akui bekerjasama bersama Johan buat kali pertama adalah satu pengalaman menyeronokkan. Corak kerja Johan yang sangat profesional menjadikan setiap proses menjadi lebih mudah dan lancar.

“Bagi saya, penting untuk mendapatkan keserasian yang kuat setiap kali terbabit sesuatu projek. Walaupun pertama kali bergandingan dengan Johan, tidak susah untuk mendapatkan keserasian antara kami.

“Saya memuji corak kerjanya yang begitu teliti tapi pada masa sama tak memberi tekanan pun. Saya percaya itulah kelebihan yang ada padanya di mana dia sentiasa memastikan setiap aspek lancar sepanjang masa,” katanya.

Khai berharap versi nyanyiannya akan dinikmati sebagaimana pendengar sukakan Pano. Dia sendiri sangat seronok apabila ‘Bagaimana’ dapat dihasilkan untuk pendengar tempatan.

“Semoga ‘Bagaimana’ akan mendapat penerimaan yang baik seperti Pano juga serta didengar berulang kali di setiap platform penstriman muzik digital. Terus sokong dan minta lagu ‘Bagaimana’ diputarkan di corong-corong radio,” katanya.

‘Bagaimana’ kini boleh didengarkan di semua pelantar penstriman digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala muzik videonya pula boleh ditonton di saluran YouTube Universal Music Malaysia.

Nurul Hana