Komposer Muda Berbakat, HarsonBee Pertaruh Lagu Baru Pemilik Hatiku

Walaupun namanya masih baharu dalam industri muzik tanah air, namun bakat yang dimilikinya tidak boleh dipandang sepi.

HarsonBee atau nama penuhnya, Harrison Bryan, 24, bukan sahaja mempunyai bakat menyanyi, malah turut berbakat dalam penciptaan lagu.

Katanya ketika di temui XTRA, lagu baharunya berjudul ‘Pemilik Hatiku’ merupakan single serta hasil ciptaan sepenuhnya yang turut mendapat sentuhan komposer ternama, LY Baiduri.

“Lagu ini dicipta dan digubah sepenuhnya oleh saya. Manakala, penerbit lagu ini ialah LY Baiduri.

“Saya bersyukur dan amat beruntung kerana lagu saya mendapat sentuhan dan dijaga sepenuhnya oleh LY selaku penerbit.

“Jadi, ini adalah single pertama saya untuk dipertaruhkan bagi memperkenalkan lagi nama saya dalam industri seni,”katanya.

HarsonBee berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Media Gathering yang berlangsung di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada Selasa.

Mengulas lanjut mengenai lagu Pemilik Hatiku, HarsonBee berkata, proses menghasilkan lagu ini mengambil sedikit masa memandangkan dia perlu mencari melodi dan mendengar pelbagai genre lagu.

Bagaimanapun, dia mengambil keputusan untuk memilih konsep ‘Bubblegum Pop’ yang mana ia mempunyai elemen catchy dan upbeat.

“Mencari melodi untuk lagu ini mengambil masa kerana pada masa sama, saya mendengar pelbagai genre lagu dan kemudian memilih konsep ‘Bubblegum Pop’.

“Ia adalah cabang daripada konsep genre pop yang mana ia turut mempunyai elemen catchy, cute, dan juga upbeat.

“Selepas proses tersebut, saya meneruskan dengan menulis lirik lagu dan ia hanya mengambil masa satu hari sahaja,”ulasnya.

Ketika ditanya mengenai harapannya untuk single terbaharunya, HarsonBee yang juga merupakan pelajar di Music North Borneo Universiti Kolej ini berharap agar lagu Pemilik Hatimu diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuklah golongan remaja sepertinya.

“Saya harap lagu ini diterima oleh semua lapisan masyarakat terutamanya dalam kalangan remaja seperti saya,” jelasnya.

Sekadar info, lagu Pemilik Hatiku ini menceritakan tentang seorang lelaki yang sedang memujuk teman wanitanya dan pada masa sama cuba untuk membuatkan wanita tersebut berasa disayangi.

Pemilik Hatiku kini boleh didengari disemua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBox, Deezer dan Youtube Music pada 26 Januari ini. Manakala, muzik video telah ditayangkan secara eksklusif di Youtube rasmi Universal Music Malaysia.

 

Salma Syahbuddin