Konsert di Singapura Sukses Dengan 1,500 Penonton, Aina Abdul Kongsi Perasaan Dengan Peminat Ketika Persembahan – “2023 Tahun Sukar, Saya Banyak Kali Hilang Diri Sendiri”

Penyanyi Aina Abdul meluahkan rasa syukur apabila konsert A Night With Aina Abdul Live in Singapore yang berlangsung pada Sabtu, 6 Januari lalu berjalan lancar.

Bertempat di The Theatre Mediacorp, Singapura, konsert anjuran Neptunes Presents yang mengandungi tiga segmen itu menghiburkan lebih 1,500 peminat.

Memulakan segmen pertama dengan penuh gaya, konsert yang diketuai oleh penerbit muzik terkemuka, Mac Chew itu menyaksikan Aina memulakan persembahan dari bawah pentas menyampaikan lagu Imaji.

Membawakan seleksi lagu Ghost, Kamu, Kelip-Kelip, Fool, Kejam, Shadow dan Maybe di segmen pembukaan, Aina anggun mengenakan busana ‘tali kasut’ rekaan Ezuwan Ismail.

Aina membuka segmen kedua dengan persembahan yang ditunggu-tunggu bersama penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri.

Memilih untuk menyampaikan lagu Gundah, paduan suara dua vokalis hebat Malaysia ini cukup rencah dan menaikkan bulu roma penonton yang hadir.

Aina dan Ernie membuktikan penyatuan dua suara dalam sebuah lagu boleh dilakukan tanpa pertandingan vokal, sebaliknya mereka berpadu untuk saling melengkapi antara satu sama lain.

Di pentas sama, Ernie turut menyampaikan single Masing-Masing yang terkandung dalam album terbaharunya yang berjudul Aura secara solo.

Memberi sentuhan peribadi dalam persembahan penuh bertenaga, Aina mengalirkan air mata sebelum menyampaikan lagu ‘I Lost Me’ di segmen ketiga.

“2023 adalah tahun yang sukar bagi saya, dari segi kerjaya dan kehidupan peribadi. Saya rasa saya hilang diri sendiri, banyak kali saya berada di situasi seperti itu di sebalik semua kegilaan dan kemilau busana gah yang saya sarungkan.

“Saya mengaku ia merupakan ‘passion’ saya, tetapi kadangkala saya rasa saya hilang dalam keghairahan itu.

“Saya menjalani kehidupan seharian yang sibuk, saya cuba untuk mengimbangi pelbagai perkara dalam kehidupan, harus memuaskan hati semua pihak, di rumah dan di tempat kerja. Sudah pasti, kadang kala kita manusia akan rasa ‘down’.

“Jadi untuk semua, saya nak mewakili anda semua, mohon terus bertabah mengharungi hari mendatang, bukan untuk orang lain, tetapi untuk diri anda sendiri. Itu perkara yang sering saya ungkapkan kepada diri saya sendiri sebagai pembakar semangat,” kata Aina sebak sambil mendapat sorakan gemuruh peminat.

Aina menyifatkan ia sebagai pembuka yang cukup bermakna untuk memulakan kembara seni dengan penuh harapan dan kejayaan di tahun 2024.

ARTIKEL BERKAITAN: Duet Dengan Aina Abdul Sukses! Ernie Zakri Harap Tiada Peminat Toksik Cuba Melagakan Lagi – “Lepas Ni, Jangan Cakap Apa-Apa”

Khairil Khusyairi