“Konsert Dua Jam Tapi Kalau Ada Lima Lagu Sahaja Macam Mana?” – Ramli MS Seru Bakat Baharu Buat Album Demi Masa Depan

Maestro muzik ternama, Datuk Ramli MS menyeru bakat baharu di era digital kini agar bekerja lebih keras jika mahu bertahan lama dalam industri muzik tanah air.

Menurut Ramli, seorang yang bergelar penyanyi adalah seorang penghibur yang perlu mengikut kemahuan pendengar.

“Penyanyi era digital sekarang perlu bekerja keras jika mahu menjadi seorang penyanyi sepanjang zaman.

“Kita lihat contoh Ella, dia hampir cecah 60 tahun, dia buat satu album ada 10 lagu. Dalam 5 tahun dia ada 18 lagu hit dan itu yang menjamin keberadaanya sehingga sekarang.

“Penyanyi adalah penghibur dan ‘hamba’ seni. Kita perlu jual seni dengan apa yang orang mahukan bukan apa yang kita suka

Dalam pada itu, Ramli turut berharap penyanyi kini dapat hasilkan album dan bukannya terlalu fokus dalam menerbitkan single.

“Penyanyi sekarang lebih kerap hasilkan single. Setiap tahun satu lagu. Kalau 10 tahun baru ada 10 lagu. Itu pun kalau lagu mereka hit.

“Macam mana nak teruskan berkarya selepas 35 tahun ke atas? Nak buat konsert dua jam tapi kalau lagunya cuma ada 5 sahaja macam mana?

“Untuk kejar masa, saya seru buatlah album untuk masa depan,” ujarnya.

Ramli berkata demikian ketika mengulas persembahan peserta di sebuah program nyanyian, baru-baru ini.

Khairil Khusyairi