Categories: Hiburan

Malam Yang Indah Untuk Peminat… Muse Pukau Lebih 50,000 Penonton!

Kumpulan rock popular Inggeris, Muse berjaya membuatkan lebih 50,000 peminat yang menonton Konsert Muse Will Of The People World Tour 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi pulang dengan senyuman.

Biarpun memulakan persembahan sedikit lewat iaitu pada pukul 9.25 malam, namun ia tidak sedikit pun membuatkan penonton berganjak untuk berhibur bersama kumpulan asal Devon, England yang dianggotai oleh Matt Bellamy (vokalis dan gitaris utama), Chris Wolstenholme (bass) dan Dominic Howar (drum).

Lebih 50,000 orang banjiri Konsert Muse Will Of The People World Tour 2023.

Konsert yang dianjurkan oleh Hello Universe itu dimulakan dengan seleksi lagu popular mereka anntaranya Uprising, Hysteria, Supermassive Black Hole, Starlight dan Our Time Is Running Out.

Walaupun anggota kumpulan tersebut sudah berusia lebih 40 tahun, namun energi yang dipamerkan sepanjang satu jam 30 mint konsert itu berlangsung cukup konsisten.

Matt berulang kali menzahirkan ucapan terima kasih sebagai tanda apresiasi buat peminat yang hadir menyaksikan konsert mereka.

Aksi ahli kumpulan Muse menghiburkan Bukit Jalil.

Malah, Matt turut mengulangi perkatan ‘terima kasih’ dalam bahasa Melayu.

“Terima kasih Kuala Lumpur. Kamu tunggu kami selama 16 tahun. Saya harap selepas ini kamu tidak perlu tunggu lama lagi,” katanya seraya disambut sorakan dan tepukan daripada penonton.

Konsert tersebut telah menjadi medan perhimpunan buat peminat yang membesar dengan lagu-lagu kumpulan rock tersebut sejak era 90-an.

Kemeriahan sekitar Konsert Muse Will Of The People World Tour 2023, Bukit Jalil.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia Pilihan MUSE! Konsert ‘The Will of The People’ Berlangsung Pada 29 Julai 2023

Mempersembahkan kira-kira 20 buah lagu termasuklah dalam album terbaharu yang dilancarkan Ogos tahun lalu berjudul Will Of The People.

Antara lagu lain yang bergema di Stadium Bukit Jalil ialah Madness, Hysteri, Psycho, It’s Halloween, You Make Me Feel Like It’s Halloween dan Behold, The Glove.

Malam yang indah untuk peminat Muse.

Konsert ini adalah siri jelajah dunia pertama Muse selepas pandemik COVID-19 melanda dunia pada 2019. Kuala Lumpur adalah satu-satunya destinasi di Asia yang menjadi perhentian mereka.

Untuk info, Muse yang ditubuhkan pada 1994 itu telah mengadakan konsert kali kedua di negara ini selepas persembahan pertama di Stadium Negara pada 2007.

Kali terakhir Muse mengadakan persembahan di Asia pada 2019 menerusi acara Singapore Grand Prix yang juga sebahagian dari jelajah Konsert Simulation Theory.

Kredit foto: Instagram Muse

Padin