Kontroversi Video ‘Panas’ Tak Halang Impian Zarul Imran Jadi Anak Seni – “Saya Terkena Fitnah Yang Sangat Kuat”

Pelakon Zarul Imran mengakui terkilan apabila ada yang masih mengaitkan dirinya terpalit dengan penyebaran video ‘panas’ yang dikatakan miripnya yang tular beberapa tahun lalu.

Menurut Zarul, dia berkongsi bahawa dek kerana fitnah tersebut dia terpaksa menamatkan pengajiannya di universiti kerana terlalu kecewa dengan kontroversi tersebut.

“Sebenarnya perkara ini telah dicanangkan ketika saya masih belajar lagi. Ia telah dihebah dan dihebohkan di media sosial terutamanya.

“Waktu saya belajar dulu mungkin saya ada ramai musuh, biasalah ketika waktu itu ada yang boleh berkawan dengan saya ada juga sebaliknya.

“Saya terkilan juga lah apabila waktu terjadi ketika saya tengah belajar di Universiti. Saya terkena fitnah yang sangat kuat.

“Pandangan orang lagi, pensyarah lagi dan saya sangat kecewa ketika itu sampai saya terpaksa menamatkan pengajian ketika fitnah itu terjadi,” katanya kepada XTRA ketika ditemui, baru-baru ini.

Tidak mahu rasa kecewa membelenggu, Zarul bangkit semula demi mengejar impian dan cita-citanya untuk bergelar seorang anak seni.

“Saya tahu ini bukan pengakhirannya, walaupun orang fitnah saya, saya mampu bangkit semula dan kumpul semangat saya untuk buktikan pada semua untuk berjaya dalam industri

“Saya mahu kecapi impian saya, ia cita-cita saya sejak saya kecil lagi. Walaupun saya berhenti belajar dan kembali ke industri, saya bermula dari bawah seperti pelakon tambahan.

“Alhamduillah, dengan rezeki Allah, saya buat yang baik sahaja, berjuang sahaja. Allah bagi juga rezeki, memang ramai yang bercakap mengenai kontroversi lama, itu tak betul, fitnah,” jelasnya.

Biarpun firnah itu memberi impak yang besar kepada nama dan kerjayanya, Zarul bersyukur mempunyai keluarga yang sangat membantu dan sentiasa memberi semangat kepadanya.

“Keluarga banyak bantu dan sokong saya, saya sangat gembira bila dapat keluarga yang sangat membantu terutama ibu saya.

“Bila fitnah itu terjadi, bukan orang biasa sahaja yang tahu tapi termasuklah keluarga juga. Mereka adalah insan yang paling menyokong saya bila perkara itu terjadi.

“Mereka beri semangat agar saya tak putus asa, saya ikut cakap ibu saya untuk terus berjuang walau apa pun yang jadi,” katanya.

Terdahulu, heboh di media sosial apabila tular semula video panas yang memaparkan aksi jelik yang dikatakan mirip Zarul di laman Twitter. Namun, Zarul menafikan perkara tersebut.

BACA JUGA: Individu Dakwa Artis BBNU Kantoi ‘Like’ Video L*cah Di Twitter – “Begitu Umum Ya, Dah La Pakai Akaun Real”

Khairil Khusyairi