Krisis Rumah Tangga Disebabkan Kehadiran Pihak Ketiga, Farid Kamil Dakwa Isteri Terkantoi – “Saya Sudah Sedaya Upaya Pujuk Diana Danielle”

Pelakon, Farid Kamil, 42, mendakwa krisis perkahwinannya bersama isteri, pelakon Diana Danielle, 32, disebabkan kehadiran pihak ketiga.

Pemilik nama penuh Farid Kamil Zahari ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari pagi tadi mendakwa dia mengetahui mengenai perkara itu sejak tahun lalu.

“Alhamdulillah saya bersyukur kerana Allah sudah memberi petunjuk dan hidayah. Jadi saya sudah cuba sedaya upaya memujuk Diana atas kesalahan yang tak munasabah tapi hari ini saya dapati ada pihak ketiga yang menyokong dia dari belakang.

“Saya kalau boleh nak tegakkan undang-undang Islam dan hak sebagai seorang suami, yang mana rumah tangga diganggu. Saya rasa sangat tidak adil sebagai seorang suami. Bila kita menuntut jawapan daripada dia mengenai perkara tersebut, perpisahan yang diminta,” katanya.

Tambah Farid, dia sayang kepada rumah tangga yang dibina bersama dua anak dan belum pernah berdepan ujian sebegini dalam perkahwinan.

“Saya sayangkan keluarga saya, saya tidak pernah lagi diuji sebegini. Saya baru mengesahkan mengenai hal ini hari ini tapi saya sudah maklum dari tahun lalu. Ia bukan masalah berlarutan cuma masalah terkantoi baru-baru ini,” katanya kepada XTRA.

Pasangan ini hadir berasingan ke mahkamah bagi memaklumkan kepada mahkamah mengenai pelantikan wakil dalam Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi menyelesaikan konflik rumah tangga mereka, selepas Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Terdahulu, Farid tiba di mahkamah di sini kira-kira jam 9 pagi membawa jambangan bunga mawar untuk Diana.

Malah, Farid turut membawa sebentuk cincin sebagai hadiah ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-11.

Sementara itu, isterinya, Diana hadir lebih awal pada 8.55 pagi memakai baju hitam bersama pengawal peribadi.

Kira-kira lebih 30 pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7 pagi tadi untuk membuat liputan.

Pada 10 Mac lalu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu adalah tiada persefahaman, sudah berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan dan tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri.

Bagaimanapun, Farid enggan melafazkan cerai terhadap Diana.

Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses JKP.

Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata.

Padin