Kritik Penampilan Isteri, Will Smith Tempeleng Muka Chris Rocks di Pentas Oscars

Pergaduhan antara dua bintang Hollywood, Chris Rock dan Will Smith kecoh di ruangan media sosial Twitter yang menyaksikan tindakan Smith telah menampar pelakon dan pelawak popular itu secara langsung semasa Anugerah Akademi (Oscars) ke-94.

Kejadian yang berlaku di Dolby Theatre, Los Angeles itu bukan sahaja mengejutkan selebriti-selebriti antarabangsa yang hadir, malah penonton anugerah berprestij di seluruh dunia itu turut terkejut sehingga nama Will Smith ‘trending’ nombor satu di Twitter.

Difahamkan peristiwa luar biasa itu terjadi semasa Rock menjadi penyampai bagi kategori Dokumentari Terbaik dengan beraninya telah membuat lawak yang dianggap melampau mengenai penampilan isteri Smith, iaitu Jade Pinkett Smith yang berimej botak.

Perkara yang menimbulkan amarah Smith adalah apabila Rock telah menyamakan penampilan isteri Smith itu seperti watak G.I Jane lakonan Demi Moore.

Smith yang berang dengan kenyataan Rock itu lantas naik ke pentas lalu terus melempang Rock yang terkejut dan terpinga-pinga dengan tindakan pelakon yang juga tercalon dalam Anugerah Akademi ke-94 itu.

Setelah itu, Smith terus kembali ke tempat duduknya lalu menjerit ke arah Rock menegaskan agar nama isterinya tidak disebut.

“Oooo! Wow! Will Smith bagi saya penampar,” kata Rock selepas ditampar oleh Smith.

Smith sempat memberi amaran kepada Rock semasa berjalan ke tempat duduknya dengan berpesan agar tidak mempersendakan isterinya.

“Jangan nak sebut-sebut nama isteri aku,” katanya.

Meninjau di ruangan media sosial Twitter, ramai dalam kalangan netizen yang menyokong tindakan Smith itu kerana menurut mereka tindakan Smith itu adalah sangat wajar bagi melindungi maruah isteri.

Untuk rekod, Will Smith memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik menerusi filem King Richard.

Sumber dan Kredit Foto: Berita Harian

Aqilah Paharuzi