Sah Jadi Isteri, Natasha Hudson Mohon Doa Kesejahteraan Perkahwinan Kali Ini

Pelakon jelita, Natasha Hudson dalam diam telah selamat bergelar isteri kepada jejaka piihan hatinya yang dikenali sebagai Jay Jasmin.

Natasha, atau nama sebenarnya, Natasha Liana Hudson, 40 meluahkan rasa syukur apabila hubungan percintaan bersama Jay berakhir di jenjang pelamin dan mereka berkongsi banyak persamaan.

Rupa-rupanya, Natasha memberitahu detik perkenalan dan percintaan dengan Jay bermula apabila dia menyertai aktiviti luncur ombak di Langkawi, Kedah.

Pasangan tersebut selamat disatukan sebagai suami isteri di Masjid Al Umm, Bandar Baru Bangi, Selangor pada hujung minggu lalu.

Menerusi beberapa perkongsian di Instagram miliknya, dapat dilihat pasangan sejoli ini mengayakan baju sedondon berwarna peach seraya duduk bergambar di atas pelamin.

Natasha sempat memohon doa daripada orang ramai untuk mendoakan perkahwinan kelimanya ini berkekalan hingga ke jannah.

“Untuk kali ini saya minta semua orang mendoakan kesejahteraan rumah tangga dan kebahagiaan hati kami berdua dalam melayari bahtera kehidupan ini bersama,” katanya.

Untuk rekod, Natasha sebelum ini pernah berkahwin selama empat kali namun jodoh tidak berpanjangan.

Terdahulu, Natasha bercerai dengan suami keempatnya iaitu Noor Nashriq pada Oktober 2019 selepas setahun berkahwin.

Kemudian pada Oktober 2018, Natasha telah bercerai dengan bekas suami ketiganya, Carleed Khaza atau Khalid Kamal yang dinikahinya pada April 2012.

Menerusi perkahwinan yang terjalin selama enam tahun itu, Natasha dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Naeema Kalila dan Faatimah.

Pada tahun 2006, Natasha berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih namun rumah tangga mereka berkecai dan hanya bertahan selama empat bulan saja.

Perkahwinan pertama Natasha adalah bersama seorang ahli perniagaan, Datuk Shahrin Zahari pada Julai 2007 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan bernama Neesa Helena namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua tahun.

Kredit Foto: Kosmo

Aqilah Paharuzi