Lebih ‘Deep’! Pamer Persembahan Luar Biasa, Fourtwnty Bikin 1,500 Peminat ‘Puas’

“Memori, enjoy dan cukup bertenaga”.

Itu antara respons yang diberikan peminat kumpulan Fourtwnty sebaik sahaja konsert Nalar Tour 2023 yang berlangsung di Zepp, Kuala Lumpur melabuhkan tirainya pada Ahad.

Persembahan penuh bertenaga ditambah dengan sorotan lampu mengikut rentak lagu menjadikan konsert kali ini  antara yang paling istimewa dan sentiasa berbekas dalam hati.

Malah, kumpulan indie popular dari negara seberang ini tidak pernah menghampakan peminat tegar mereka baik yang berada di Indonesia mahupun di Malaysia.

 

Sentiasa tampil dengan ‘set list’ lagu pilihan anak muda kini sehinggalah lagu-lagu pengubat luka yang terkandung dalam album Nalar, ternyata konsert kali ini membuatkan 1,500 peminatnya berasa puas.

 

Membawakan 21 lagu popular yang dipetik dari album Zona Nyaman, Heliotropisme sehingga Nalar, Fourtwnty sebelum ini mengakui persembahan penutup bagi konsert tour mereka perlu dipersembahkan sehabis baik.

“Kami belajar dari konsert yang berlangsung di Singapura sebelum ini. Justeru ada beberapa perkara yang kami take out dan tambah.

“Malah, intronya juga perlu dibikin agak lama sedikit dan untuk kali ini di Zepp kami memberikan semaksimal mungkin,” katanya.

 

Tampil dengan lagu pembukaan seperti Realitas, Hitam Putih, Aku Kamu dan Aku Mencintaiku Traumaku, vokalis kumpulan Ari Lesmana akhirnya tampil membuat kemunculan istimewa dengan memakai kostum rasmi album terbaharu mereka sambil membawakan lagu berjudul Larasuka.

Malah, momen dimana Ari meminta untuk semua penonton bernyanyi bersama tanpa merakamkan persembahan tersebut antara yang paling meninggalkan momen ‘istimewa’ buat semua peminat mereka di Malaysia.

 

Salma Syahbuddin