Lebih Mudah Untuk Aiman Hakim Ridza Dapatkan Keserasian Bersama Hannah Delisha Dalam 28 Hari Mencari Cinta

Drama slot Lestary 28 Hari Mencari Cinta sudah mula ditayangkan bermula 23 Disember lalu dan ia kembali menggandingkan Aiman Hakim Ridza dan Hannah Delisha.

Drama 15 episod ini mengisahkan tentang watak Faisal yang dilakonkan oleh Aiman yang cuba meraih kembali cinta Saleha lakonan Hannah Delisha.

Menurut pengarah Ng Ken Kin, drama komedi romantik ini mempunyai elemen yang dekat dengan hati penonton dan membawakan mesej untuk menghargai peluang yang ada.

“Saya rasa Faisal seperti dia muda, biasalah sesiapa masa muda kita tak banyak pengalaman kehidupan, jadi kita akan banyak buat kesilapan sampai pasangan kita akan rasa tak puas dari segi apa yang mereka hendak perolehi dari pasangan mereka.

“Jadi mesej utama dia adalah jangan ambil mudah tentang sesuatu perkara kalau tidak dah terlambat. Macam kes Faisal dia kena tunggu lapan tahun selepas itu baru jumpa dan kenali Saleha semula,” kata Ken Kin.

Pengarah drama ini juga suka dengan keserasian yang ditonjolkan oleh Aiman dan Hannah.

“Chemistry mereka memang syoklah bila kita tengok satu scene, memang nampak scene itu hidup. Bila dapat tengok scene begitu, sebagai seorang pengarah saya dah boleh lega sikitlah,” kata Ken Kin.

Sebelum ini, Aiman dan Hannah pernah digandingkan dalam drama Aku Cinta Dia.

Tambah Aiman pula, lebih mudah untuk mendapat keserasian dengan Hannah dalam drama 28 Hari Mencari Cinta.

“Hannah ni jenis yang tahu apa yang berlaku sebelum dan selepas, jadi dia banyak beri tunjuk ajar dari segi penceritaan. Berbanding dengan sebelum ini saya bekerjasama dengan Hannah, waktu itu mungkin kami baru lagi berbanding dengan drama ini. Hannah lebih matang dan lebih senang bekerja dengan dia,” kata Aiman.

Drama 28 Hari Mencari Cinta boleh ditonton pada setiap hari Rabu hingga Sabtu jam 9 malam di TV3 atau strim secara langsung di www.tonton.com.my

Arfah