Lefthanded 40 Tahun Rockestra Hasil Perancangan Lima Tahun

Lefthanded bakal mengadakan konsert yang berjudul Lefthanded 40 Tahun Rockestra sempena 40 tahun mereka bertapak dalam industri seni nyanyian.

Menurut gitaris terkenal kumpulan terbabit, Man Kidal, konsert ini telah dirancang selama hampir lima tahun sebelum merealisasikannya pada Jun ini.

“Konsert ini merupakan impian kami. Walaupun saya pernah membuat persembahan solo dan menyertai persembahan kumpulan lain, tetapi untuk membuat konsert bersama Lefthanded ini merupakan pertama kali dan impian kami semua.

“Kalau diikutkan, perancangan ini sudah dibuat selama lima tahun iaitu sebelum perintah kawalan pergerakan(PKP) terjadi lagi,” jelas Man Kidal.

Mengulas lagi tentang pemilihan artis jemputan yang akan membuat persembahan bersama Lefthanded iaitu Yazid Lovehunters dan Hazama, Man Kidal mendedahkan bahawa hubungannya dengan Yazid yang akrab menjadikan Yazid sebagai artis jemputan pada konsert tersebut.

“Manakala Hazama pula walaupun kita tak rapat tapi kita kenal. Hazama mempunyai tone suara yang sesuai dengan muzik kami dan mempunyai pengaruh 80-an yang kuat,” katanya lagi.

Konsert tersebut menggegarkan peminat pada 3 Jun ini jam 8.30 malam di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre.

Tiket juga sudah boleh didapati di laman web www.ticket2u.com.my

Izzi Farhana