Disamakan Dengan Beluncas, Fesyen Aina Abdul Dikritik Netizen – “Tolong Fikir Penonton Dekat Belakang”

Sebut sahaja nama penyanyi Aina Abdul pasti ramai yang akan mengenalinya menerusi lagu-lagu hitnya seperti Sumpah dan Terus Hidup, namun ada juga yang mengenali melalui fesyen-fesyen beraninya.

Terbaharu, Aina atau nama lengkapnya Nurul Aina Abdul Ghani, 29 sekali lagi seolah-olah semakin mengganas dengan fesyennya yang luar biasa dan pelik.

Aina yang menyandang kerusi juri dalam sebuah program realiti nyanyian di sebuah stesen TV berbayar tersebut tampil mega dengan persalinan serba hijau.

Apa yang menjadi perhatian adalah gaya fesyen hijabnya agak keterlaluan apabila mengenakan hiasan di bahagian kepalanya yang agak besar.

Sinonim dengan fesyen sebegitu rupa, penampilan Aina kali ini turut dikritik oleh netizen yang rata-ratanya tidak menggemari gaya tersebut lebih-lebih lagi hiasan kepala tersebut.

Hal ini berikutan, ada yang mengkritik hiasan kepala tersebut sangat tidak menghormati penonton yang berada di belakang kerusi juri itu.

Malah, ada juga yang menasihati Juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37) dan pasukan agar memikirkan keselesaan dan pandangan penonton yang berada di belakang juri.

Disebalik fesyen pelik tersebut, ramai juga turut berseloroh mengenai fesyen pelantun lagu Sepi itu dengan menyamakan seperti ulat beluncas.

Khairil Khusyairi