Luqman Hafidz Sukar Tonjolkan Reaksi Untuk Penuhi Kehendak Watak

Pelakon Luqman Hafidz mengakui sukar menonjolkan reaksi untuk penuhi kehendak watak menerusi filem Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.

Menurut Luqman, dia menganggap perkara itu sebagai satu cabaran buat dirinya untuk menjiwai watak sebagai ‘Gaban’ disebabkan dialognya yang kurang.

“Bila baca skrip saya tahu yang dialog saya tak berapa banyak. Tapi bila diskrin, kita nampak ada dialog sebab skrip tu dah banyak dicampak-campak.

“Sebab tu Encik Zul kata skrip ni bergerak so kita kena sentiasa bersedia mengikut situasi yang berlaku ketika penggambaran.

“Jadi saya prepare kebanyakannya dari pada reaction sebab bagi saya susah bila skrin besar bila kita tak rasa or menjiwai, orang tahu. Jadi, benda tu yang saya berhati-hati.

“Jadi saya cuba yakinkan benda tu betul-betul dan bagi saya reaction tu yang mencabar saya untuk keluarkan sehabis-habisnya,” katanya.

Luqman turut menyatakan filem ini juga memerlukan dirinya untuk bergerak dengan banyak ketika penggambaran, di mana ia berbeza daripada apa yang dirancang mengikut skrip.

“Saya dulu pernah dekat teater di di bawah bimbingan Puan Sri Tiara Jacquelina, ada movement yang saya taknak buat tapi kena buat untuk penuhkan pentas dengan pergerakan.

“Jadi saya kena lahirkan lakonan tu kemudian selepas ikut pergerakan tu. Perkara tu banyak saya gunakan dalam filem ni sebab setiap hari walaupun saya rancang mengikut skrip tapi tetiba kena tukar mengikut cuaca dan situasi semasa.

“Jadi tu antara yang saya gilap untuk menjadikan reaction dan lakonan saya lebih baik daripada sebelum ini,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, pelakon itu juga memaklumkan bahawa dirinya tidak memilih sekiranya menerima mana-mana tawaran berlakon menerusi filem atau drama.

“Saya bukannya memilih sangat. Tapi, siapa yang taknak pergi ke ‘range’ yang lebih besar dalam lakonan dan produksi. Kalau boleh buat filem, saya buat filem.

“Tapi saya tak ada rasa nak buat drama sahaja ke atau filem sebab bagi saya tu learning process juga. Saya kena buat juga supaya orang tahu yang saya masih berlakon dan terbuka untuk menerima mana-mana tawaran.

Namun, dia lebih memilih sekiranya watak yang ditawarkan lebih menarik untuk dirinya menjiwai dan sampaikan kepada penonton.

“Memang kena pilih sebenarnya sebab kadang-kadang benda tu datang serentak. Jadi, kita akan tengok mana yang lebih kita tertarik untuk nak buat sangat.

“Walaupun bayaran dia lebih kurang, tapi bila kita buat tu macam tak terasa macam kita kerja. So, kita pilih untuk buat mana yang lebih menarik dan juga buat,” katanya.

Selain filem Air Force The Movie, Luqman juga turut membintangi drama Ku Punya Hati, lakonan Sharifah Rose dan Nabil Aqil menerusi Slot Akasia, di TV3.

 

Fatin Nurain