“Maafkan Saya Dik, Akak Rasa Bersalah Sangat!” – Sabit Terpelanting Ke Muka Pelakon Lain, Ellie Suriaty Mohon Maaf

Pelakon berbakat besar, Ellie Suriaty memohon maaf kerana menyebabkan kecederaan terhadap pelakon baru, Shahidan Izwan.

Insiden itu berlaku apabila Shahidan terkena sabit yang digunakan Ellie semasa menjayakan babak dalam filem terbaharu mereka berjudul Telaga Suriram.

Berita itu dikongsi Ellie menerusi muat naik di Instagram Story miliknya pada Rabu.

Menurut Ellie atau nama penuhnya Ellie Suriaty Omar, 52, sabit yang digunakan ketika penggambaran itu terpelanting sehingga terkena dahi dan hidung Shahidan.

Ini menyebabkan dirinya rasa bersalah dan memohon maaf di atas kejadian berlaku.

“Saya menyebabkan accident on set semalam dalam shoot Telaga Suriram. Masa shoot sabit ditangan Mak Tijah terpelanting dalam pergelutan dengan Jabet sehingga terkena dahi dan hidung Kasa.

“Saya minta maaf serta rasa bersalah yang amat pada Shahidan Izwan. Alhamdulillah Syukran Allah SWT baik sangat Shahidan lembut hati maafkan saya,” jelasnya.

 

Sementara itu, Shahidan menerusi perkongsiannya di Instagram juga turut memaklumkan kecederaan yang dialaminya ketika penggambaran tersebut berlangsung.

Bagaimanapun, dia menganggap apa yang berlaku ini sebagai pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

“Accident di set Telaga Suriram, kenangan yang tak boleh dilupakan sabit rumput terbang ke muka.

“Tiada siapa yang salah inilah adat semasa berlakon, mesti ada perkara yang tak diingini berlaku. Doa kan saya cepat sembuh dan tak sabar nak masuk set balik nak buat yang terbaik untuk Film Telaga Suriram,” katanya.

 

Salma Syahbuddin