Categories: Hiburan

Mahu Majukan Diri, Syafiq Kyle Masih Sertai Kelas Lakonan

Biarpun namanya sudah dikenali sebagai salah seorang pelakon popular di Malaysia, Syafiq Kyle tetap mencari peluang untuk menimba ilmu bagi memantapkan diri.

Masih menyertai kelas lakonan, Syafiq menganggap ia sebagai salah satu usaha untuk memajukan diri dalam lapangan kerjaya sebagai seorang aktor.

“Masih banyak yang perlu saya belajar. Berlakon sahaja tak cukup kerana sebagai seorang aktor, kita memerlukan ilmu.

“Saya banyak sertai kelas lakonan jika berkelapangan. Saya mencuba untuk berguru dengan banyak ‘cikgu’ agar saya dapat menambah ilmu di dada.

“Saya pernah belajar dengan Aloy Paradoks, Farid Ramli, Fatimah Abu Bakar, Ellie Suriati dan Ayam Farid. Saya sendiri masih rasa tak puas dan mahu belajar lagi. Saya tak tetap dengan satu guru sahaja kerana setiap orang lain cara mengajar,” katanya.

Menjayakan karakter Amar dalam drama bersiri Seribu Nina terbitan platform penstriman Viu, Syafiq merealisasikan empat watak dalam satu drama.

“Amar mengembara ke dimensi berbeza dan dalam setiap dimensi, akan ada watak lain yang ditonjolkan. Seribu Nina sangat menarik kerana saya menjayakan empat watak dalam karakter Amar.

“Ini sesuatu yang baru untuk saya dan saya gembira dapat bekerjasama dengan semua pihak dalam menjayakan Seribu Nina,” katanya lagi.

Selain Syafiq, Seribu Nina turut dijayakan oleh Adriana Adnan, Marsha Milan, Adlin Aman Ramlie dan ramai lagi.

Padin